Isnin, 3 Januari 2022 | 10:17am
(Gambar fail) Penasihat utama AS berhubung pandemik COVID-19, Anthony Fauci - FOTO AFP
(Gambar fail) Penasihat utama AS berhubung pandemik COVID-19, Anthony Fauci - FOTO AFP

AS hadapi kadar lonjakan 'hampir garis menegak'

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sedang bergelut dengan lonjakan kes COVID-19 pada kadar 'hampir garis menegak', berikutan penularan varian Omicron di seluruh negara ini.

Penasihat utama AS berhubung pandemik itu, Anthony Fauci ketika memaklumkan krisis berkenaan berkata, jangkitan terbabit berkemungkinan akan mencapai kemuncak dalam tempoh beberapa minggu lagi.

"Apa yang pasti, kita sedang berdepan peningkatan sangat teruk dalam penularan COVID-19," katanya pada program 'This Week' siaran ABC, semalam, sambil menyifatkan lonjakan kadar jangkitan itu sebagai 'betul-betul tidak pernah berlaku sebelum ini.'

Perebakan pantas varian Omicron yang kini mengancam seluruh dunia, menyaksikan lebih 440,000 kes baharu dilaporkan di AS, Jumaat lalu, iaitu meningkat hampir 200,000 berbanding ketika kemuncak penularan pada Februari tahun lalu.

Bagaimanapun, Fauci berkata, pengalaman Afrika Selatan - di mana varian Omicron kali pertama dikesan pada akhir November lalu serta mencapai kemuncak penularan dengan pantas sebelum reda juga dengan cepat - memberikan sinar harapan.

Selain itu, katanya, semakin banyak bukti menunjukkan kesan jangkitan Omicron adalah lebih sederhana berbanding varian sebelum ini.

Setakat ini, kadar kematian dan kemasukan ke hospital adalah jauh lebih rendah sepanjang tempoh beberapa minggu lalu, berbanding ketika lonjakan penularan COVID-19 yang lalu.

Dengan sesi persekolahan dijadualkan dibuka semula hari ini selepas cuti akhir tahun, kedua-dua pihak Fauci serta Setiausaha Pendidikan AS berpendapat pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka boleh diadakan secara selamat jika langkah berjaga-jaga yang sewajarnya diambil.

Sehubungan itu, Fauci sekali lagi menggesa ibu bapa agar memastikan anak mereka divaksin, memakai pelitup muka dan menjalani ujian saringan sekiranya perlu. - AFP

Berita Harian X