Jumaat, 31 Disember 2021 | 1:31pm
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden (kanan) dan Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden (kanan) dan Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto AFP

Biden, Putin saling berbalas amaran berhubung isu Ukraine

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, memberi amaran kepada rakan sejawat dari Russia, Vladimir Putin, mengenai tindak balas keras jika berlaku sebarang pencerobohan ke atas Ukraine.

Pemimpin Kremlin pula menegaskan, sekatan anti-Moscow yang dipelopori AS adalah 'kesilapan besar'.

Selepas panggilan telefon selama 50 minit, yang kedua dalam tempoh lebih tiga minggu, kedua-dua presiden menyatakan sokongan untuk diplomasi lanjut mengenai kebuntuan antara Russia dan Ukraine yang disokong Barat.

Putin secara keseluruhannya 'gembira' dengan rundingan itu, kata penasihat dasar luar Russia, Yury Ushakov, kepada pemberita.

Beliau juga merujuk kepada ancaman sekatan ekonomi yang berulang kali dibuat oleh Washington sebagai tindak balas kepada serangan Ukraine dan berkata perkara itu akan menjadi 'kesilapan besar'.

"Kami berharap ini tidak akan berlaku" katanya

Ushakov juga menegaskan Russia sedang mencari 'hasil' konkrit dalam rundingan Januari di Geneva manakala Rumah Putih berkata ia juga mahu melihat tentera Russia berundur dari sempadan Ukraine.

Seorang pegawai kanan AS yang enggan dikenali berkata nada perbincangan antara dua pemimpin itu adalah 'serius dan substantif'.

Namun, kedua pihak tidak berselindung mengenai perselisihan pendapat atau risiko besar di pinggir Eropah timur, dalam perbualan sebelum rundingan tertutup antara pegawai tinggi Russia dan AS pada 10 Januari ini.

Setiausaha Akhbar Biden, Jen Psaki, dalam satu kenyataan, berkata Presiden AS itu sudah menegaskan bahawa AS dan sekutu serta rakan kongsinya akan bertindak balas dengan tegas jika Russia meneruskan rancangan menyerang Ukraine.

"Presiden Biden mengulangi bahawa kemajuan substantif dalam dialog ini boleh berlaku hanya dalam persekitaran di mana ketegangan diredakan, bukan sebaliknya," kata Psaki.

Dalam kenyataan selepas panggilan itu, Kremlin menegaskan Biden memberitahu Putin bahawa senjata serangan AS tidak akan digunakan di Ukraine.

Rumah Putih, bagaimanapun, berkata Biden hanya mengesahkan dasar sedia ada negara itu berhubung tindakan ketenteraan.

"Presiden Biden menjelaskan bahawa AS terus memberikan bantuan keselamatan pertahanan kepada Ukraine dan tidak akan membekalkan senjata bagi serangan.

"Ini sebenarnya bukan komitmen baharu, sebaliknya sudah lama menjadi dasar AS," kata seorang pegawai AS kepada AFP.

Pegawai AS itu turut mengulangi amaran mengenai sekatan ekonomi besar-besaran yang disokong oleh Washington dan EU jika Russia terus menyerang Ukraine.

"Biden membentangkan dua laluan, satu adalah jalan diplomasi... dan satu lagi jalan yang lebih bersifat pencegahan, yang akan besar akibatnya," katanya. - AFP

Berita Harian X