Khamis, 30 Disember 2021 | 8:33am
Rochelle Walensky. - Foto AFP
Rochelle Walensky. - Foto AFP

'Kematian, kemasukan ke hospital rendah walaupun Omicron melonjak'

WASHINGTON: Kadar kematian dan kemasukan ke hospital akibat COVID-19 secara perbandingannya rendah dengan penularan varian Omicron yang mudah menjangkiti, kata Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Amerika Syarikat (AS), Rochelle Walensky.

"Dalam beberapa minggu, Omicron meningkat dengan pantas di seluruh negara, dan kami menjangkakan akan terus beredar dalam beberapa minggu akan datang. Walaupun kes meningkat dengan ketara daripada minggu lalu, kemasukan ke hospital dan kematian kekal rendah ketika ini," katanya merujuk kepada keseluruhan kes.

Purata kes harian tujuh hari meningkat 60 peratus berbanding minggu sebelumnya kepada kira-kira 240,400 sehari, katanya.

Purata kadar kemasukan ke hospital harian bagi tempoh yang sama meningkat 14 peratus kepada kira-kira 9,000 sehari dan kematian turun kira-kira tujuh peratus kepada 1,100 sehari, kata Walensky kepada pemberita pada taklimat Rumah Putih.

Purata jumlah kes harian COVID-19 yang disahkan di AS mencecah rekod tertinggi pada Rabu.

Data awal AS menunjukkan Omicron akan mempunyai nisbah kemasukan ke hospital dengan jumlah kes yang lebih rendah berbanding varian Delta, pakar kanan bagi penyakit berjangkit AS, Anthony Fauci berkata pada taklimat itu, tetapi vaksin penggalak COVID-19 akan menjadi kritikal dalam menanganinya.

"Semua petunjuk menunjukkan keterukan Omicron berbanding Delta yang lebih rendah. Dos penggalak adalah penting dalam mengekang Omicron lebih optimum," katanya.

Fauci dan Walensky memberi amaran data mengenai kematian dan kemasukan ke hospital cenderung melambatkan data kes selama dua minggu.

Fauci berkata kemungkinan dos penggalak kedua diperlukan, tetapi ia tidak mungkin diketahui tanpa terlebih dahulu menentukan ketahanan perlindungan yang ditawarkan oleh suntikan penggalak awal, yang pada masa ini tiada data.

Kerajaan menjangkakan kontrak untuk 500 juta ujian antigen, yang dijanjikan Presiden Joe Biden, bagi membantu menangani lonjakan kes akan selesai lewat minggu depan, kata penyelaras tindak balas COVID-19 Rumah Putih, Jeff Zients.

Sementara itu mengulas tindakan beberapa pakar penyakit berjangkit yang mempersoalkan tindakan CDC mengurangkan separuh tempoh pengasingan untuk COVID-19 tanpa gejala, Walensky berkata keputusan itu berdasarkan penyelidikan yang menunjukkan sehingga 90 peratus penularan COVID-19 berlaku dalam tempoh lima hari selepas jangkitan.

Beliau berkata agensi itu mengimbanginya dengan bukti bahawa hanya sebilangan kecil orang yang mempunyai COVID-19 yang sanggup mengasingkan diri selama 10 hari penuh setakat ini ketika wabak itu.

"Kami di CDC sedang berusaha untuk memberikan pengesyoran yang dikemas kini, menggunakan sains untuk meringankan beban pengesyoran pengasingan dan kuarantin yang panjang. Walau bagaimanapun, pengesyoran ini hanya akan berfungsi jika orang mengikutinya." - AGENSI

Berita Harian X