Khamis, 30 Disember 2021 | 7:19am
 Presiden AS, Joe Biden (kiri) dan Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto AFP
Presiden AS, Joe Biden (kiri) dan Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto AFP

Biden tawar Putin laluan diplomatik selesai krisis Ukraine

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dijangka menawarkan kepada rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin laluan diplomatik dalam usaha menyelesaikan krisis Ukraine.

Menurut seorang pegawai AS, tawaran itu akan dibuat menerusi panggilan telefon pada Khamis, sekali gus memberi isyarat kemungkinan akan diadakan rundingan keselamatan bulan depan.

Panggilan telefon itu akan menjadi yang kedua dalam tempoh kurang sebulan antara kedua-dua pemimpin yang mana awal bulan ini, Biden memberi amaran kepada Putin mengenai kesan teruk jika tentera Russia terus ditempatkan di sempadan Ukraine.

Biden yang kini berada di rumahnya di Delaware untuk cuti Tahun Baharu, berkata; "Kami bersedia untuk proses diplomasi dan laluan diplomatik", kata seorang pegawai kanan pentadbirannya kepada pemberita.

"Namun kami juga bersedia untuk bertindak balas jika Russia terus menceroboh Ukraine," amaran Biden kepada Putin, kata pegawai itu.

Pegawai itu memberitahu, Biden menyatakan keprihatinannya terhadap nasib tentera Russia berhampiran sempadan Ukraine.

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov yang mengesahkan panggilan itu berkata ia akan berlangsung petang Khamis waktu Russia.

Russia telah menghantar puluhan ribu tentera ke sempadan Ukraine, menurut pegawai yang bimbang kejadian 2014 akan berulang apabila Moscow merampas semenanjung Crimea dan pemberontakan pro-Russia meletus di timur Ukraine yang menyebabkan lebih 13,000 orang terbunuh.

Dalam langkah yang berpotensi untuk meredakan ketegangan, pegawai kanan AS dan Russia merancang untuk bertemu pada 10 Januari ini di Geneva.

Pertemuan itu diadakan selepas Russia menawarkan cadangan kepada AS termasuk gesaan tidak mengembangkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke arah ke timur atau menubuhkan pangkalan di bekas republik Soviet.

AS sudah memanggil beberapa pegawai Russia bagi memulakan rundingan dan menyatakan kesediaan untuk berbincang mengenai kebimbangan mereka mengenai krisis itu.

Dialog itu diadakan apabila Putin dan Biden bertemu di Geneva Jun lalu.

Pegawai AS pada masa itu mencari penyelesaian dalam merungkai hubungan tegang dengan Russia tetapi usaha itu musnah apabila berlaku pergerakan tentera.

Pegawai pentadbiran menjelaskan bahawa tidak ada rancangan untuk satu lagi sidang kemuncak secara bersendirian.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov berikrar Moscow akan mengambil tindakan tegas dalam rundingan di Geneva bagi mempertahankan kepentingannya.

Menjelang rundingan AS-Russia, Setiausaha Negara AS Antony Blinken bercakap melalui telefon pada Rabu dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.

"Saya diberi jaminan sokongan penuh AS untuk Ukraine dalam menentang pencerobohan Russia," katanya di Twitternya.

Blinken juga bercakap secara berasingan kepada rakan sejawatannya dari Britain, Perancis dan Jerman mengenai penyelarasan untuk menghalang sebarang pencerobohan Russia di Ukraine," kata jurucakap Jabatan Negara, Ned Price. - AFP

Berita Harian X