Rabu, 29 Disember 2021 | 11:25am
Kakitangan perubatan menunjukkan sampel calitan bagi ujian COVID-19 di Bangalore, India. - Foto EPA
Kakitangan perubatan menunjukkan sampel calitan bagi ujian COVID-19 di Bangalore, India. - Foto EPA

Kit ujian pantas COVID-19 tidak berkesan bagi Omicron

WASHINGTON: Kit ujian pantas COVID-19 di rumah lebih mungkin memberikan keputusan negatif palsu terhadap varian Omicron, menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS).

Berita itu datang ketika negara sedang menghadapi lonjakan kes, dengan pakar menyatakan kebanyakan jangkitan varian itu gagal dikesan melalui ujian saringan kendiri.

Dalam pada itu, masa menunggu adalah lebih lama bagi ujian PCR yang lebih tepat manakala bekalan kit ujian saringan di rumah pula terhad.

Dalam satu kenyataan, FDA berkata mereka bekerjasama dengan Institut Kesihatan Nasional (NIH) untuk mengkaji prestasi ujian saringan di rumah, juga dikenali sebagai ujian antigen, terhadap sampel pesakit dijangkiti varian Omicron.

"Data awal menunjukkan ujian antigen memang mengesan varian Omicron, namun mungkin sensitivitinya sudah berkurangan," kata agensi itu.

Sensitiviti ialah ukuran sejauh mana kemungkinan ujian dapat mengesan jangkitan varian yang positif.

Katanya, ujian sebelumnya menumpukan pada sampel virus yang dinyah aktif menggunakan haba berbanding virus hidup yang memberikan keputusan lebih baik dan tiada penurunan prestasi dikesan sehingga kini.

FDA berkata ia akan terus membenarkan penggunaan ujian antigen, yang berfungsi mengesan protein permukaan COVID-19 dan individu harus terus menggunakannya mengikut arahan.

Sebagai contoh, beberapa kit ujian pantas mengarahkan pengguna untuk mengambil dua ujian dengan jarak masa tertentu untuk mengesahkan keputusan negatif.

Jika seseorang diuji negatif dengan kit ujian pantas tetapi dianggap mungkin dijangkiti COVID-19, sama ada kerana ada gejala atau terdedah kepada kontak rapat, mereka masih disyorkan untuk mendapatkan ujian molekul seperti PCR.

Ini lebih berupaya mengesan bahan genetik virus itu dan ia adalah lebih tepat kerana mereka boleh membuat berjuta-juta salinan virus RNA biarpun jumlah yang dapat dikesan adalah kecil. - AFP

Berita Harian X