Isnin, 27 Disember 2021 | 9:27am
Anthony Fauci. - Foto AFP
Anthony Fauci. - Foto AFP

Omicron: Kanak-kanak masuk hospital di New York meningkat

WASHINGTON: Kadar kemasukan kanak-kanak ke hospital di New York meningkat susulan peningkatan kes COVID-19 varian Omicron.

Jabatan Kesihatan Negeri New York dalam kenyataan pada Jumaat memberi amaran mengenai trend peningkatan kemasukan ke hospital bagi kanak-kanak yang dikaitkan dengan COVID-19.

Di New York City, kadar kemasukan ke hospital akibat COVID-19 dalam kalangan individu berusia 18 tahun ke bawah bermula minggu 5 Disember hingga minggu semasa meningkat empat kali ganda.

Dianggarkan separuh kadar kemasukan adalah dalam kalangan usia bawah lima tahun, iaitu kumpulan umur yang tidak layak untuk vaksin, menurut jabatan itu.

Jumlah kes COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) semakin meningkat, dengan purata hampir 190,000 jangkitan baharu setiap hari sejak tujuh hari lalu, menurut angka dari Universiti Johns Hopkins.

Penularan varian Omicron ditambah lagi dengan percutian sempena perayaan yang biasanya termasuk perjalanan dan pertemuan dengan keluarga mencetuskan ujian tergesa-gesa di AS.

Penasihat pandemik AS, Anthony Fauci pada hari Ahad mengakui wujud masalah ujian COVID-19 dan memberi jaminan untuk menyediakan lebih banyak ujian kepada rakyat Amerika bulan depan.

"Antara masalah ialah ia tidak akan tersedia sepenuhnya kepada semua orang sehingga Januari dan masih terdapat beberapa isu orang ramai berdepan masalah untuk diuji," kata Fauci kepada ABC News.

Fauci pada Ahad menegaskan bahawa pihak pentadbiran sedang giat menangani lonjakan kes dan menyifatkan penularan Omicron sebagai luar biasa.

Beliau berkata kajian terbaru di Afrika Selatan dan Britain menunjukkan Omicron kurang berkemungkinan membawa kepada kemasukan ke hospital berbanding strain virus sebelumnya dan tempoh kemasukan ke hospital dan keperluan oksigen untuk pesakit lebih rendah.

Bagaimanapun Fauci memberi amaran bahawa keterukan Omicron yang lebih rendah mungkin akan dineutralkan oleh seberapa cepat ia merebak.

"Isunya kami tidak mahu berpuas hati... apabila anda mempunyai jumlah jangkitan baharu yang begitu tinggi, ia mungkin mengatasi pengurangan keterukan sebenar," kata Fauci. - AFP

Berita Harian X