Rabu, 22 Disember 2021 | 10:44am
Biden ketika sidang media di Rumah Putih mengumumkan langkah baharu pentadbirannya bagi membendung penularan Omicron di AS. FOTO AFP
Biden ketika sidang media di Rumah Putih mengumumkan langkah baharu pentadbirannya bagi membendung penularan Omicron di AS. FOTO AFP

AS bersiap sedia hadapi penularan Omicron

WASHINGTON: Presiden Joe Biden menegaskan kepada penduduk Amerika Syarikat (AS), pentadbirannya bersiap sedia menghadapi penularan varian Omicron yang merebak dengan pantas.

Serentak itu, Biden mengumumkan serangkaian langkah baharu membendung penularan varian itu ketika AS menghadapi lonjakan jangkitan kes baharu COVID-19, antaranya menghantar setengah bilion kit ujian percuma mulai Januari ini.

"Kita harus mengambil berat Omicron, tetapi jangan panik. Kita bersedia dan lebih mengetahui," kata Biden di Rumah Putih, meyakinkan orang ramai varian itu tidak akan kembali menular seperti yang berlaku pada Mac 2020.

Omicron dilaporkan menyumbang 73.2 peratus kes baharu COVID-19 di AS sepanjang minggu lalu, menurut data rasmi terkini.

Pendirian terbaru pentadbiran Biden itu susulan keputusan terkini Israel yang menetapkan warganegara berusia lebih 60 tahun dan pasukan perubatan layak menerima suntikan vaksin COVID-19 keempat, berikutan saranan pakar.

Israel menjadi negara pertama memberikan suntikan dos ketiga secara meluas, keputusan yang dianggap tidak perlu oleh sesetengah pakar pada masa itu tetapi kemudiannya dibenarkan.

Rejim itu turut melarang penduduknya melakukan perjalanan ke AS dan lebih 50 negara lain bagi menyekat penularan varian itu.

Serangan pantas Omicron di seluruh dunia menyebabkan beberapa negara mengenakan semula sekatan atau mengkaji semula rancangan mereka untuk membendung penularannya.

Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah, Hans Kluge turut memberi amaran yang penularan Omicron ibarat 'ribu baharu yang akan datang'.

Perancis dilaporkan mengeluarkan perintah membatalkan sambutan Tahun Baru dan Jerman mengehadkan hanya 10 orang dibenarkan menghadiri parti persendirian, menutup kelab malam dan melarang penonton menghadiri acara besar perlawanan bola sepak.

Jelas Biden lagi, pentadbirannya akan mengerahkan tentera ke hospital, menghantar bekalan ke negeri dilanda teruk jangkitan dan menyediakan tapak ujian percuma baharu.

Beliau menegaskan, kempen imunisasi AS akan membantu mencegah kes yang teruk dalam kalangan 62 peratus penduduk yang kini menerima vaksin lengkap sambil menyelar mereka yang enggan divaksin sebagai tidak patriotik. - AFP

Berita Harian X