Selasa, 21 Disember 2021 | 8:44am
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

Moderna yakin dos penggalak berkesan lawan Omicron

WASHINGTON: Pengeluar vaksin Amerika Syarikat (AS), Moderna yakin suntikan dos penggalak keluarannya berkesan terhadap varian Omicron selepas keputusan ujian makmal menunjukkan hasil 'meyakinkan'.

Presiden Moderna, Stephen Hoge dalam satu persidangan berkata; "Kami percaya kita boleh bergantung kepada vaksin ini untuk menangani lonjakan jangka pendek kes Omicron,"

Bagaimanapun, katanya, ujian menunjukkan selepas dua dos, vaksin Moderna memberikan perlindungan terhadap Omicron 'jauh lebih rendah' berbanding dengan strain awal COVID-19.

"Memberi dos penggalak juga menyediakan lebih banyak perlindungan antibodi terhadap Omicron," menurut keputusan yang diumumkan.

Kajian makmal itu mengukur tahap antibodi peneutral Omicron dalam sampel darah daripada 40 orang yang mempunyai tahap rendah antibodi ini sebelum mendapat dos penggalak.

Ketika ini mereka yang menerima vaksin Moderna diberikan 100 mikrogram dos bagi suntikan pertama dan kedua untuk perlindungan daripada COVID-19, diikuti dengan dos penggalak sebanyak 50 mikrogram.

Antibodi diukur 29 hari selepas penerima suntikan penggalak mendapat dos ketiga, dengan separuh mendapat dos 50 mikrogram dan separuh mendapat 100 mikrogram.

Moderna berkata, data awal menunjukkan tindak balas antibodi terhadap Omicron pada dos 50 mikrogram meningkat 37 kali ganda - tetapi apabila dos digandakan, tahap antibodi meningkat 83 kali ganda.

Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, Stephane Bancel menyatakan keputusan ujian itu 'meyakinkan', dan syarikat itu akan terus membangunkan dos khusus untuk Omicron.

Hoge berkata, syarikat itu optimis dengan data yang dibentangkan itu bahawa dos penggalak yang dibenarkan sebanyak 50 mikrogram dapat memberikan perlindungan yang baik, terhadap varian Omicron.

"Kita menjangkakan bahawa akan ada keperluan pada masa hadapan untuk pemberian dos penggalak secara bermusim," katanya.

Ujia percubaan klinikal untuk vaksin yang disasarkan mungkin akan bermula pada awal 2022.

Moderna sedang merancang vaksin yang dapat menangani beberapa varian yang membimbangkan dan dalam masa yang sama meluaskan imuniti.

Pakar menggesa supaya pengeluar vaksin berhati-hati apabila mentafsir kajian makmal, kerana keputusan sebenar diperlukan bagi menentukan perlindungan terhadap penularan dan penyakit.

Minggu lalu, kajian dunia yang sah di Afrika Selatan menunjukkan dua suntikan dos menyerupai mRNA daripada Pfizer/BioNTech menawarkan perlindungan sekitar 70 peratus terhadap penyakit teruk yang disebabkan oleh Omicron.

Dalam temu bual yang diterbitkan dalam akhbar harian Perancis Le Monde, Ketua Pegawai Eksekutif BioNTech, Ugur Sahin berkata selepas suntikan ketiga ia seolah-olah memberikan perlindungan antara 70 dan 75 peratus terhadap sebarang bentuk penyakit.

Beliau berkata, syarikatnya sepatutnya boleh menawarkan vaksin khusus untuk Omicron mulai Mac ini, sementara menunggu kelulusan daripada pengawal selia. - AFP

Berita Harian X