Sabtu, 18 Disember 2021 | 4:43pm
Gambar fail (Hiasan) - FOTO AFP
Gambar fail (Hiasan) - FOTO AFP

Pfizer rancang uji dos ketiga kanak-kanak bawah 5 tahun

WASHINGTON: Pfizer semalam mengumumkan rancangan untuk menguji pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak berumur bawah lima tahun.

Sebagai sebahagian daripada ujian klinikal yang dijalankan secara berterusan, syarikat farmaseutikal gergasi itu memilih dos tiga mikrogram setiap suntikan untuk golongan berumur antara enam bulan hingga kurang lima tahun.

Kadar itu adalah 10 kali kurang berbanding dos 30 mikrogram yang diberikan kepada golongan dewasa dan 10 mikrogram untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Bagi kanak-kanak berumur dua hingga lima tahun, pemberian dos 10 mikrogram didapati mengakibatkan lebih banyak demam berbanding dalam kalangan mereka yang lebih tua, justeru syarikat itu memilih dos lebih rendah.

Namun dengan dua suntikan dos tiga mikrogram, tindak balas imun mereka didapati lebih lemah berbanding remaja serta golongan dewasa muda yang diberikan vaksin berkenaan.

Sehubungan itu, Pfizer memutuskan untuk mengubah suai ujian klinikal bagi memasukkan dos ketiga yang disuntik 'sekurang-kurang dua bulan selepas dos kedua', kata syarikat terbabit dalam satu kenyataan.

Dua suntikan pertama akan kekal dengan sela masa selama tiga minggu. - AFP

Berita Harian X