CAP-HAITIEN: Angka korban kemalangan akibat letupan bahan api diangkut trak dijangka bertambah ketika berpuluh mangsa yang melecur sedang dirawat.
Letupan di Cap-Haitien pada Selasa lalu di bandar kedua terbesar di Haiti itu mengorbankan 75 orang setakat ini.
Pengarah Perlindungan Awam, Jerry Chandler berkata, seramai 59 orang masih dirawat kerana melecur, kebanyakannya parah.
"Kami menggandakan usaha mengukuhkan infrastruktur kesihatan tempatan kami," katanya.
Chandler berkata, hospital lapangan juga dijangka beroperasi dalam tempoh tujuh hingga 10 hari inin dengan dibantu pasukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kakitangan Kementerian Kesihatan.
Angka kematian meningkat sejak semalam kerana mereka yang cedera meninggal dunia akibat melecur teruk.
Mangsa cedera dan maut apabila tangki terbabit meletup ketika mereka berebut mengambil bahan api yang tumpah di tengah jalan awal pagi Selasa lalu.
Beberapa pesakit dipindahkan ke luar Cap-Haitien, termasuk ke hospital yang dikendalikan oleh Doctors Without Borders atau MSF, yang menjadi satu-satunya kemudahan kesihatan yang mampu merawat luka terbakar di negara itu.
"Kami beroperasi sepanjang malam. Buat masa ini, 12 pesakit kami stabil," kata penyelaras perubatan MSF, Jean Gilbert Ndong yang menjangkakan lebih ramai pesakit lain akan tiba kemudian.
Timbalan Datuk Bandar Cap-Haitien, Patrick Almonor menggambarkan kejadian ngeri itu menyebabkan berpuluh-puluh orang seperti 'dibakar hidup-hidup' dan mungkin sukar untuk mengenal pasti mereka.
Rumah berhampiran juga mengalami kerosakan serius selepas terbakar dalam letupan itu. - AFP