Rabu, 15 Disember 2021 | 1:54pm
Pasukan keselamatan dilihat di lokasi letupan berhampiran lapangan terbang di Cucuta. - Foto AFP
Pasukan keselamatan dilihat di lokasi letupan berhampiran lapangan terbang di Cucuta. - Foto AFP

2 polis maut dalam letupan di lapangan terbang

CUCUTA, COLOMBIA: Dua pegawai polis maut selepas bahan letupan meletup di lapangan terbang di sempadan Colombia dengan Venezuela yang turut mengorbankan penyerangnya, menurut pegawai keselamatan.

Penyerang itu melompat ke dalam pagar di kawasan landasan di lapangan terbang antarabangsa Cucuta sebelum meletup bahan letupan yang dibawa bersamanya.

"Pegawai polis berkenaan, David Reyes, 38, dan William Bareno, 42 - terbunuh dan pakar bahan letupan yang meninjau kawasan itu menjumpai beg pakaian, yang turut meletup," kata Ketua Pasukan Polis Cucuta, Kolonel Giovanni Madarriaga.

Menteri Pertahanan Colombia, Diego Molano berkata insiden itu mirip serangan oleh kumpulan pemberontak Tentera Pembebasan Nasional (ELN), yang menolak perjanjian damai 2016 dengan organisasi gerila yang lebih berpengaruh, Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC).

Polis berkata, tidak jelas sama ada bahan letupan yang dibawa oleh penyerang yang tidak dikenali itu meledak sebelum waktunya atau jika serangan itu adalah pengeboman berani mati, satu amalan luar biasa dalam konflik Colombia yang berlarutan.

Polis dan anggota keselamatan mengepung lapangan terbang itu, yang menggantung semua penerbangan selama tujuh jam.

Beberapa rumah berhampiran turut rosak akibat letupan itu dan sekurang-kurangnya lima serangan menggegarkan wilayah yang bersempadan dengan Venezuela sejak pertengahan tahun ini.

Jun lalu, penyerang melepaskan tembakan ke arah helikopter yang membawa Presiden Ivan Duque, yang ketika itu menghampiri Cucuta, sebuah bandar dengan kira-kira 800,000 penduduk.

Bagaimanapun, tiada yang cedera dalam serangan itu. Kumpulan bersenjata di rantau itu, kebanyakannya bekas pemberontak, berebut keuntungan daripada pengedaran dadah, mengambil kesempatan daripada sempadan di kawasan lembah kira-kira 2,200 kilometer antara Colombia dan Venezuela. - AFP

Berita Harian X