Khamis, 9 Disember 2021 | 9:45am
Penunjuk perasaan turun ke jalanan di Minneapolis, Minnesota, semalam. - FOTO AFP
Penunjuk perasaan turun ke jalanan di Minneapolis, Minnesota, semalam. - FOTO AFP

'Mahu renjat tapi tersilap ambil pistol'

MINNEAPOLIS: Seorang bekas anggota polis wanita Amerika Syarikat (AS) mendakwa mahu mengeluarkan senjata renjatan elektrik, namun tersilap mengambil pistol sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki secara tidak sengaja.

Kim Potter, 49, dihadapkan ke mahkamah, semalam, atas pertuduhan membunuh lelaki Afrika-Amerika, Daunte Wright, 20, dalam kejadian tembakan ketika menjalankan tugas pemeriksaan trafik rutin di Brooklyn Center yang terletak di pinggir bandar Minneapolis, Minnesota, April lalu.

Insiden terbabit berlaku kira-kira 10 bulan selepas kes polis membunuh seorang lagi lelaki kulit hitam, George Floyd, di Minneapolis yang mencetuskan bantahan serta rusuhan di beberapa bandar.

Kematian Wright menimbulkan semula suasana tegang dengan tunjuk perasaan baharu, namun keadaan kembali reda selepas Potter ditahan serta Derek Chauvin disabit kesalahan membunuh Floyd dan dihukum penjara 22 tahun.

Kejadian maut yang menimpa Wright turut dirakam kamera video dipasang pada badan anggota polis.

Dalam insiden itu, Potter bersama dua rakan sekerja mengarahkan kereta dipandu Wright berhenti kerana pendaftaran kenderaan itu sudah luput tarikh.

Mereka juga difahamkan bahawa terdapat waran tangkap dikeluarkan ke atas Wright yang mempunyai seorang anak lelaki kecil, kerana didakwa membawa pistol tanpa permit.

Bagaimanapun, Wright yang dilaporkan tidak bersenjata ketika kejadian, cuba untuk melarikan diri.

Potter mendakwa mahu mengeluarkan senjata renjatan elektrik untuk menghalang Wright.

Rakaman kamera badan menunjukkan Potter menjerit: "Taser" (senjata renjatan elektrik) ketika melepaskan tembakan.

Wright terus memandu tetapi kenderaan itu berhenti sejurus kemudian, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat ditembak.

Potter yang meletak jawatan selepas insiden berkenaan, mendakwa tersilap mengambil pistol yang disarungkan di satu belah, manakala senjata renjatan elektrik disarungkan di satu lagi belah lain. - AFP

Berita Harian X