Rabu, 8 Disember 2021 | 7:18am
Anthony Fauci. - Foto AFP
Anthony Fauci. - Foto AFP

Varian Omicron 'hampir pasti' tidak seteruk Delta - Fauci

WASHINGTON: Beberapa indikator awal menunjukkan varian Omicron yang dikesan di sekurang-kurangnya 38 negara, tidak seteruk varian sebelumnya.

Saintis kanan Amerika Syarikat (AS), Anthony Fauci, berpandangan varian Omicron mungkin lebih sederhana, namun menegaskan tahap keseriusannya hanya boleh dinilai selepas beberapa minggu.

Ketua penasihat perubatan kepada Presiden AS, Joe Biden itu berkata, perkara yang diketahui dan tidak diketahui mengenai Omicron merangkumi tiga perkara utama, iaitu kebolehjangkitan, kemampuan mengelak imuniti jangkitan terdahulu dan vaksin serta keseriusan penyakit.

Menurut Fauci, varian baharu itu adalah jelas 'lebih mudah berjangkit' khususnya berbanding Delta, yang kini menjadi strain paling dominan di seluruh dunia, selain data epidemiologi terkumpul menunjukkan jangkitan semula lebih tinggi dengan Omicron.

Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Nasional (NIAID) AS itu berkata, keputusan eksperimen makmal yang menguji kesan antibodi daripada vaksin terhadap Omicron akan diperoleh dalam tempoh beberapa hari atau minggu akan datang.

Berhubung tahap keseriusan penyakit yang dicetuskan Omicron, Fauci berpandangan 'ia hampir pasti lebih ringan berbanding Delta'.

"Ada yang berpandangan yang ia mungkin tidak kritikal kerana jika dilihat kohort di Afrika Selatan, nisbah antara jumlah jangkitan dan kemasukan ke hospital dilihat lebih rendah berbanding Delta," katanya kepada AFP.

Bagaimanapun Fauci menegaskan adalah penting untuk tidak terlalu berlebihan dalam menilai data itu kerana populasi yang diteliti membabitkan golongan muda yang lebih cenderung untuk tidak dimasukkan ke hospital, selain penyakit serius boleh mengambil masa beberapa minggu untuk dilihat.

Jelasnya, sekurang-kurangnya beberapa minggu lagi diperlukan untuk mengesahkan data berkenaan di Afrika Selatan, yang menjadi lokasi pertama varian itu dikesan bulan lalu.

"Kemudian, apabila kadar jangkitan semakin tinggi di seluruh dunia, ia akan mengambil masa lebih lama untuk melihat tahap keseriusan.

"Senario terburuk adalah ia bukan saja amat mudah berjangkit, malah menyebabkan penyakit yang serius dan mencetus gelombang baharu jangkitan yang tidak semestinya diatasi oleh vaksin atau individu yang pernah dijangkiti sebelum ini.

"Namun, saya tidak rasa varian ini akan membawa kepada situasi terburuk itu, namun apa saja boleh berlaku," katanya.

Meskipun varian Omicron belum dikaitkan dengan sebarang kes kematian, saintis seluruh dunia bimbang dengan kumpulan lebih 30 mutasi pada pepaku protein pada permukaan virus itu, yang membolehkannya menyerang sel.

Menurut Fauci, asal-usul Omicron masih belum jelas, namun antara teori ketika ini adalah sama ada ia berevolusi dalam tubuh pesakit yang memiliki sistem imun yang defektik seperti pesakit HIV, atau virus itu berjangkit dari manusia kepada haiwan sebelum kembali kepada manusia dalam bentuk bermutasi. - AFP

Berita Harian X