Isnin, 6 Disember 2021 | 5:10pm
penasihat pandemik Amerika Syarikat (AS), Anthony Fauci. - Foto EPA
penasihat pandemik Amerika Syarikat (AS), Anthony Fauci. - Foto EPA

Maklum balas menggalakkan mengenai bahaya Omicron

WASHINGTON: Petunjuk awal mengenai bahaya varian Omicron COVID-19 menunjukkan perkembangan menggalakkan, kata penasihat pandemik Amerika Syarikat (AS), Anthony Fauci, semalam.

Bagaimanapun, katanya, maklumat lanjut berhubung varian membimbangkan (VOC) itu masih diperlukan.

"Omicron ada kelebihan dari segi penularan di Afrika Selatan, di mana varian itu pertama kali dilaporkan, apabila kes tiba-tiba melonjak secara mendadak.

"Meskipun terlalu awal untuk kita mengeluarkan kenyataan muktamad berhubung varian itu, setakat ini ia tidak menunjukkan tahap bahaya yang membimbangkan.

"Setakat ini, petunjuk adalah sedikit menggalakkan," katanya.

Kajian makmal giat dijalankan untuk meneliti sama ada pelbagai mutasi dalam Omicron lebih memudahkan penularan jangkitan berbanding strain lain, 'kalis' kesan vaksin atau mengundang gejala teruk.

Keputusan kajian itu dijangka diperoleh dalam tempoh beberapa minggu lagi.

"Saya rasa kita berdepan risiko sebenar berkaitan penyusutan kadar keberkesanan vaksin.

"Apa yang saya tidak pasti sekarang ialah sejauh mana kesan ini bakal berlaku. Adakah ia sama seperti varian Delta dulu yang menyaksikan vaksin masih berkesan.

"Atau kita bakal berdepan pengurangan kadar keberkesanan vaksin menjangkau 50 peratus yang sekali gus wujud keperluan untuk membuat pembaharuan pelalian," kata Presiden Moderna, Stephen Hoge.

Moderna seperti syarikat farmaseutikal lain, termasuk Pfizer sudah mula merintis usaha untuk mengubahsuai pelalian mereka jika wujud keperluan berbuat demikian.

Kes Omicron setakat ini dilaporkan di lebih 40 negara dan 15 negeri di AS.

AS minggu lalu mengenakan sekatan perjalanan terhadap individu dari Afrika Selatan dan tujuh lagi negara Afrika, bagi mengekang penularan Omicron.

Fauci semalam pula berharap supaya sekatan sedemikian dapat ditarik semula dalam tempoh tertentu. - AFP

Berita Harian X