Ahad, 5 Disember 2021 | 4:11pm
Ibu bapa Ethan Crumbley, James dan Jennifer Crumbley, didakwa awal minggu ini atas pelbagai pertuduhan membunuh dan melakukan keganasan susulan kejadian tembakan di Oxford High, di utara Detroit yang menyaksikan empat pelajar maut. - Foto AGENSI
Ibu bapa Ethan Crumbley, James dan Jennifer Crumbley, didakwa awal minggu ini atas pelbagai pertuduhan membunuh dan melakukan keganasan susulan kejadian tembakan di Oxford High, di utara Detroit yang menyaksikan empat pelajar maut. - Foto AGENSI

Jaminan AS$1 juta untuk ibu bapa remaja tembak rambang

WASHINGTON: Ibu bapa remaja berusia 15 tahun yang menembak mati empat pelajar di sekolah tinggi Amerika Syarikat, menggunakan senjata dibeli bapanya, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pembunuhan beramai-ramai tanpa niat.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, seorang hakim di Michigan menetapkan jaminan AS$1 juta (RM4.23 juta).

James dan Jennifer Crumbley, ibu bapa suspek yang melepaskan tembakan, Ethan Crumbley, ditahan polis selepas berjaya menjejaki mereka di sebuah bangunan industri, dekat Detroit, kira-kira 65 kilometer daripada lokasi kejadian di Oxford.

Kedua-dua pasangan itu dianggap sebagai pelarian, selepas dilaporkan membuat pengeluaran wang tunai AS$4,000 (RM16,921) dan mematikan telefon bimbit mereka.

Bagaimanapun, peguam bela kedua-dua pasangan terbabit memaklumkan mahkamah bahawa klien mereka sudah membuat keputusan untuk menyerah diri.

Sherif Daerah Oakland, Michael Bouchard, memberitahu pemberita dalam sidang media semalam bahawa kedua-dua pasangan terbabit seakan mendapat bantuan untuk bersembunyi daripada dikesan oleh polis.

"Mereka tidak cuba untuk menyerah diri pada waktu itu. Kita percaya bahawa mereka mendapat bantuan untuk memasuki ke kawasan itu.

"Oleh itu, jelas ada orang yang bantu mereka untuk bersembunyi di kawasan itu walaupun ada waran tangkap dikeluarkan terhadap mereka," katanya.

Menerusi sesi perbicaraan, Hakim Julie Nicholson, menetapkan bon jaminan AS$500,000 (RM2.12 juta) untuk masing-masing untuk ibu dan bapa, selain menyifatkan pertuduhan terhadap pasangan itu adalah sangat serius dan mahkamah mempunyai kebimbangan berhubung risiko mereka melepaskan diri.

Empat pelajar, masing-masing berusia antara 14 dan 17 tahun, terbunuh dalam insiden tembakan di Oxford High School, utara Detroit, manakala enam lagi mengalami kecederaan, termasuk seorang guru.

Anak lelaki pasangan itu, Ethan berdepan tuduhan membunuh dan perlakuan keganasan sebagai orang dewasa, manakala penjaganya masing-masing mempunyai empat pertuduhan pembunuhan beramai-ramai tanpa niat.

Setiap pertuduhan itu membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun jika sabit kesalahan. - AFP

Berita Harian X