Rabu, 1 Disember 2021 | 10:01am
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

Pakar kesihatan AS sokong pil Molnupiravir rawat COVID-19

WASHINGTON: Panel pakar kesihatan dilantik kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengesyorkan pil antiviral COVID-19 keluaran Merck bagi pesakit dewasa berisiko tinggi, sekali gus sebagai rawatan baharu yang mudah diurus dan terbukti lebih berupaya mencegah pelbagai varian termasuk Omicron.

Pil Molnupiravir yang sudah mendapat kelulusan di Britain terbukti menurunkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan pesakit COVID-19 berisiko tinggi apabila ia diambil dalam tempoh lima hari berlaku gejala.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS yang mengadakan mesyuarat akan memberi kebenaran penggunaan kecemasan (EUA) tidak lama lagi dan ini bermakna, berjuta-juta kapsul akan disimpan di farmasi untuk pembelian pesakit dengan preskripsi.

Bagaimanapun, keputusan itu dengan 13 pakar menyokong manakala 10 menolak, mencerminkan kebimbangan terhadap penurunan keberkesanan rawatan itu baru-baru ini, dan kebimbangan terhadap potensi bahayanya.

"Ini adalah keputusan yang sukar," kata Sascha Dublin dari Institut Penyelidikan Kesihatan Kaiser Permanente Washington.

Dublin berkata, walaupun beliau mendapati manfaatnya cukup baik, adalah penting untuk memastikan pil itu dikawal dengan ketat dan diberikan kepada pesakit yang paling sesuai untuk rawatan berkenaan.

Minggu lalu, Merck mengeluarkan keputusan penuh daripada percubaan klinikal terhadap 1,400 orang yang mendedahkan pil itu mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian sebanyak 30 peratus.

Keputusan itu disifatkan sebagai signifikan, tetapi lebih sederhana berbanding 50 peratus yang diiklankan sebelum ini berdasarkan analisis separuh daripada bilangan pesakit.

Faktor yang menyumbang kepada penurunan keberkesanan pil itu masih belum jelas sepenuhnya, tetapi ia boleh dikaitkan dengan variasi dalam kalangan mereka yang terbabit dalam kajian itu.

Dokumen berhubung perkara itu yang dimuat naik oleh FDA menggambarkan keseimbangan manfaat-risiko yang perlu dianalisis oleh pakar.

Kesan berbahaya yang berpotensi telah diperhatikan pada perkembangan janin, seperti yang dilihat dalam kajian mengenai tikus dan arnab.

Merck turut berkata, penggunaan pil itu tidak disyorkan bagi wanita hamil.

Pesakit COVID-19 perlu mengambil sebanyak 40 pil itu melalui empat kapsul, dengan penggunannya dua kali sehari, selama lima hari. - AFP

Berita Harian X