Selasa, 30 November 2021 | 12:11pm
(Gambar fail) Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
(Gambar fail) Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Omicron: Rakyat Afrika tidak boleh dipersalahkan, dihukum - PBB

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berkata beliau 'sangat bimbang' akan tindakan negara di serata dunia melaksanakan sekatan perjalanan dari selatan Afrika untuk mengekang penularan varian baharu COVID-19, Omicron yang dikesan di benua itu.

"Rakyat Afrika tidak boleh dipersalahkan atas tahap vaksinasi rendah di Afrika - dan mereka juga tidak harus dihukum kerana mengesan serta berkongsi maklumat penting sains dan kesihatan kepada dunia.

"Saya kini sangat bimbang mengenai pengasingan terhadap negara di selatan Afrika berikutan sekatan perjalanan COVID-19 yang baharu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Susulan penularan strain Omicron, negara di serata dunia bergegas menutup sempadan masing-masing, namun varian baharu itu dilaporkan telah merebak ke Eropah, Asia dan Amerika Utara.

Mengulas lanjut, Guterres merayu kerajaan negara di dunia supaya mempertimbangkan kaedah alternatif, termasuk melakukan ujian saringan berulang ke atas pengembara, untuk 'mengelakkan risiko jangkitan dan pada masa sama membenarkan perjalanan serta ekonomi terbabit.'

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenal pasti secara keseluruhan, risiko Omicron adalah 'amat tinggi.'

Namun, Pengarah WHO Afrika turut membantah sekatan terhadap pengembara dari benua itu, dengan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai 'menyerang solidariti global.'

Pegawai di Afrika Selatan di mana kali pertama varian Omicron dikesan, mendakwa mereka 'dihukum' kerana mengenal pasti strain baharu yang kini dilaporkan di pelbagai negara lain, dari Belanda hinggalah Britain, Kanada dan Hong Kong.

Presiden Malawi, Lazarus Chakwera pula menuduh negara Barat sebagai 'Afrofobia'. - AFP

Berita Harian X