Ahad, 28 November 2021 | 11:04am
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken. - Foto AFP
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken. - Foto AFP

AS puji Afrika Selatan segera kesan Omicron

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memuji Afrika Selatan kerana segera mengenal pasti varian baharu COVID-19 yang dipanggil Omicron dan berkongsi maklumat itu dengan dunia.

Ia dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada cara pengendalian China terhadap wabak asal novel coronavirus itu.

Jabatan Negara AS memaklumkan, Setiausaha Negara, Antony Blinken bercakap dengan menteri hubungan antarabangsa dan kerjasama, Naledi Pandor serta berbincang mengenai kerjasama dalam pemberian vaksinasi COVID-19 kepada rakyat Afrika.

"Setiausaha Blinken secara khusus memuji saintis Afrika Selatan kerana pengesanan pantas varian Omicron dan kerajaan negara itu kerana ketelusannya dalam berkongsi maklumat, yang harus menjadi model kepada dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Di bawah pentadbiran Donald Trump sebelum ini dan kini di bawah Presiden Joe Biden, AS berulang kali mengkritik China kerana tidak mendedahkan asal usul coronavirus yang pertama kali dikesan pada Disember 2019 di bandar China, Wuhan, sebelum merebak ke seluruh dunia dan kini sudah membunuh hampir 5.2 juta orang.

Pada Ogos lalu, komuniti perisikan AS mengeluarkan laporan yang menyatakan, ia tidak dapat mencapai kesimpulan yang kukuh mengenai asal virus itu, yang mana kebarangkalian utamanya sama ada berasal daripada haiwan atau makmal penyelidikan kerana China tidak membantu siasatan berkenaan.

AS turut menuduh Beijing mengambil masa yang sangat lama sebelum berkongsi maklumat penting mengenai wabak itu, dengan menyatakan pengendalian yang lebih telus boleh membantu menghentikan penularan virus itu.

Selepas laporan AS itu dikeluarkan pada musim panas baru-baru ini, Biden menuduh Beijing enggan bekerjasama.

"Dunia memerlukan jawapan dan saya tidak akan berhenti sehingga saya mendapatkannya.

"Negara yang bertanggungjawab tidak mengabaikan tanggungjawab seperti ini kepada seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan selepas laporan yang tidak diklasifikasikan itu dikeluarkan.

Pandemik adalah salah satu daripada banyak sumber yang meningkatkan ketegangan antara AS dan China, selain dua kuasa besar turut bertembung dalam hal perdagangan, hak asasi manusia dan isu Taiwan. - AFP

Berita Harian X