Rabu, 24 November 2021 | 8:09am
Kevin Strickland. - Foto AGENSI
Kevin Strickland. - Foto AGENSI

Lelaki kulit hitam dipenjara 43 tahun secara salah dibebaskan

WASHINGTON: Hakim di Missouri mengarahkan pembebasan serta-merta seorang lelaki berkulit hitam yang menjalani hukuman penjara 43 tahun kerana tiga sabitan pembunuhan tidak dilakukannya.

Kevin Strickland, 62, dijatuhkan hukuman pada 1979 oleh juri berkulit putih dalam kes pembunuhan di Kansas City, Missouri dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Strickland bagaimanapun menyatakan dia tidak bersalah dan Pejabat Pendakwa Daerah Jackson pada awal tahun ini bersetuju bahawa dia disabitkan secara salah.

Selepas meneliti kes itu, Hakim James Welsh kemudiannya mengarahkan pembebasan Strickland.

Menurut Pendaftar Pembebasan diselia oleh beberapa sekolah undang-undang negara, pembebasan Strickland selepas 43 tahun dipenjarakan menjadikan dia seorang banduan paling lama dalam penjara Amerika Syarikat (AS), yang disabitkan secara salah.

Strickland disabitkan selepas perbicaraan kedua bagi kes pembunuhan tiga individu yang mati diikat dan ditembak pada 25 April 1978.

Satu-satunya mangsa yang terselamat, Cynthia Douglas mengenal pasti Strickland sebagai seorang daripada empat lelaki yang menembak tetapi kemudiannya menarik balik testimoninya.

Dua lelaki yang disabitkan dengan pembunuhan itu berkata, Strickland tidak terbabit dan mengenal pasti dua lelaki yang bersubahat.

Tiada satu pun bukti mengaitkan Strickland dalam jenayah itu malah dia menyediakan alibi lokasi dia berada ketika itu.

"Strickland disabitkan kesalahan semata-mata testimoni saksi Douglas, yang kemudiannya menarik balik kenyataan itu. Di bawah kenyataan unik ini, keyakinan mahkamah terhadap sabitan Strickland sangat jejas dan penghakiman perlu diketepikan.

"Mahkamah dengan ini memerintahkan pembebasan segera Strickland," kata hakim.

Pendakwa raya Jackson County turut mengalu-alukan keputusan yang dilakukan mahkamah itu.

"Akhirnya ia memberi keadilan terhadap seorang lelaki yang sangat-sangat terkesan dengan sabitan yang salah," katanya dalam satu kenyataan.

Kes Strickland itu diperjuangkan menerusi Projek Tidak Bersalah Midwest Sekolah Undang-undang Universiti Missouri-Kansas City, yang menyokong pihak yang disabitkan secara salah. - AFP

Berita Harian X