Selasa, 23 November 2021 | 6:06pm
Anggota polis memeriksa lokasi rempuhan perarakan di Waukesha. - Foto AFP
Anggota polis memeriksa lokasi rempuhan perarakan di Waukesha. - Foto AFP

Suspek rempuhan perarakan hadapi 5 pertuduhan membunuh

CHICAGO: Seorang lelaki berusia 39 tahun di Milwaukee, sebuah bandar di negeri Wisconsin AS, berdepan lima pertuduhan percubaan membunuh dengan sengaja selepas memandu merempuh perarakan percutian yang diadakan di Waukesha, Wisconsin pada Ahad petang, mengorbankan lima orang dan mencederakan lebih 40 yang lain.

Lima yang terbunuh berusia antara 52 hingga 81 tahun, dengan 18 kanak-kanak, berumur antara 3 hingga 16 tahun mengalami kecederaan, lapor Xinhua memetik ketua polis Waukesha Dan Thompson pada sidang media yang diadakan petang semalam.

Menurut pegawai itu, 10 daripada kanak-kanak itu berada di unit rawatan rapi dan enam yang lain dalam keadaan kritikal.

Polis berkata, siasatan awal tidak menemui bukti bahawa kejadian pada Ahad itu berkait dengan serangan pengganas.

Suspek Darrell Brooks mempunyai sejarah perlakuan jenayah dan dibebaskan dengan ikat jamin AS$1,000 (RM4,198) sebelumnya kerana didakwa melanggar ibu kepada anaknya di tempat letak kereta stesen minyak Milwaukee. - BERNAMA

Berita Harian X