Selasa, 23 November 2021 | 11:46am
 Tertuduh Nikolas Cruz (tengah) mengaku bersalah terhadap 17 pertuduhan membunuh bulan lalu. - Foto AFP
Tertuduh Nikolas Cruz (tengah) mengaku bersalah terhadap 17 pertuduhan membunuh bulan lalu. - Foto AFP

DOJ akan bayar AS$130 juta kepada waris mangsa tembakan

MIAMI: Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) dijangka membayar AS$130 juta (RM545 juta) kepada keluarga mangsa tembakan di Parkland, Florida pada 2018.

Ia berikutan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) gagal menyiasat dua maklumat mengenai lelaki bersenjata yang membunuh 17 orang di sekolah tinggi itu, memetik laporan New York Times pada Isnin.

Menggunakan senapang separa automatik AR-15, bekas pelajar berusia 19 tahun, Nikolas Cruz mengamuk di sekolah Marjorie Douglas Stoneman pada Hari Valentine 2018.

Enam minggu sebelum kejadian, seorang wanita menghubungi talian maklumat FBI selepas melihat media sosial suspek mengenai simpanan senjata dan peluru.

"Saya tahu dia akan 'meletup'," katanya yang menyuarakan kebimbangan remaja itu "akan menyelinap ke sekolah dan melepaskan tembakan".

Lima bulan sebelum insiden tembakan berlaku, pemilik saluran YouTube melaporkan komen ditinggalkan dalam satu videonya yang mana pengguna bernama "nikolas cruz" mendakwa bahawa dia akan menjadi "penembak sekolah profesional."

Hanya beberapa hari selepas insiden tembakan itu, FBI mengakui mereka tidak membuat susulan terhadap dua maklumat yang diterima.

Pengakuan FBI mengenai kesilapan itu mengecewakan keluarga mangsa yang kemudiannya memfailkan saman kerana kecuaian, menurut akhbar itu.

Bulan lalu, Cruz, kini 23, mengaku bersalah atas 17 pertuduhan membunuh dan berkata dia "sangat menyesal."

Tertuduh sedang menunggu hukuman dan pendakwa raya berkata mereka akan menuntut hukuman mati. - AFP

Berita Harian X