Selasa, 23 November 2021 | 9:16am
Lonjakan kes COVID-19 di Eropah antaranya dikatakan berpunca daripada kadar vaksinasi yang rendah di beberapa negara. - Foto fail AFP
Lonjakan kes COVID-19 di Eropah antaranya dikatakan berpunca daripada kadar vaksinasi yang rendah di beberapa negara. - Foto fail AFP

COVID-19: Warga AS digesa tidak kunjungi Jerman, Denmark

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menggesa warganya tidak melakukan perjalanan ke Jerman dan Denmark berikutan lonjakan kes COVID-19 di Eropah.

Jabatan Negara mengeluarkan nasihat perjalanan Tahap 4 iaitu tahap tertinggi untuk kedua-dua negara, sekali gus menunjukkan tahap COVID-19 yang sangat tinggi di negara berkenaan.

Bakal pengembara juga diberi amaran terdapat sekatan yang menjejaskan kemasukan warga AS ke Denmark.

Kembalinya Eropah sebagai pusat wabak dikaitkan dengan program vaksinasi perlahan di beberapa negara selain penyebaran varian Delta yang mudah menular dan cuaca lebih sejuk.

Di Jerman, negara yang paling ramai penduduk di EU, merekodkan hanya 68 peratus penduduknya lengkap vaksin.

Negara itu menggesa semua individu dewasa yang diberi vaksin untuk mendapatkan suntikan dos penggalak untuk menangani keberkesanan vaksin yang semakin berkurangan selepas enam bulan.

Menteri Kesihatan Jerman, Jens Spahn, dilaporkan memberi amaran bahawa majoriti rakyat Jerman perlu disuntik vaksin, dirawat hingga sembuh atau akan mati akibat COVID-19 dalam tempoh beberapa bulan ini.

Amaran itu disuarakan beliau selepas kempen inokulasi kurang mendapat sambutan.

"Kemungkinan menjelang penghujung musim sejuk ini, mungkin agak sinis kenyataan saya, hampir semua orang di Jerman akan diberi vaksin, disembuhkan atau mati," katanya. - AFP

Berita Harian X