Isnin, 22 November 2021 | 10:02pm
Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto EPA
Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto EPA

Risikan AS dedah rancangan Russia serang Ukraine

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berkongsi maklumat risikan dengan sekutu Eropah yang mendedahkan persediaan kumpulan tentera Russia untuk menyerang Ukraine.

Difahamkan, serangan besar-besaran sedang dirancang terhadap Ukraine selepas mendapat arahan Presiden Russia, Vladimir Putin.

Menurut sumber rapat, risikan itu disampaikan kepada beberapa anggota NATO sejak minggu lalu, sekali gus menyokong kebimbangan AS mengenai kemungkinan niat Putin itu.

Terdapat juga usaha diplomatik yang dilakukan bagi menghalang Putin daripada melancarkan pencerobohan itu, malah pemimpin Eropah turut bertindak berhubung secara langsung dengan pemimpin Russia itu bagi tujuan terbabit.

Diplomasi itu dimaklumkan oleh pasukan penilaian AS bahawa Putin mungkin mempertimbangkan untuk melaksanakan serangan pada awal tahun depan memandangkan tenteranya kini beramai-ramai dikerahkan ke sempadan.

Maklumat itu memaparkan senario di mana tentera akan menyeberang ke Ukraine dari Crimea, sempadan Russia dan melalui Belarus, dengan kira-kira 100 batalion kumpulan taktikal membabitkan lebih 100,000 askar.

Mereka dikerahkan untuk bertugas dalam operasi di medan yang sukar dalam keadaan cuaca sejuk sehingga tahap beku, meliputi wilayah yang luas bagi tugasan jangka panjang.

Menurut maklumat, kira-kira separuh daripada jumlah kumpulan taktikal itu sudah pun berada pada kedudukan strategik dan sebarang serangan akan dibantu oleh sokongan udara.

Sumber berkata, Moscow juga memanggil puluhan ribu anggota pasukan simpanan iaitu jumlah besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada zaman pasca-Soviet.

Mereka menjelaskan peranan pasukan simpanan dalam sebarang konflik adalah untuk menjaga ketenteraman awam dalam fasa berikutnya selepas batalion taktikal membuka jalan.

Bagaimanapun, Russia belum mengumumkan secara terbuka mengenai kerahan terhadap pasukan simpanan untuk kembali bertugas.

Salah seorang sumber berkata, AS juga berkongsi maklumat mengenai peningkatan luar jangka maklumat tidak tepat menyasarkan Kiev dan dakwaan Moscow sudah merekrut ejen untuk mencuba mencetuskan ketidakstabilan dalaman di Ukraine.

Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksii Reznikov, melawat Washington minggu lalu dan meminta pertolongan Pentagon bagi memperkukuhkan pertahanan ruang udara dan perairan negara itu.

Menteri Luar Ukraine turut mengunjungi Brussels minggu lalu.

Menyuarakan kebimbangan AS, ketua agensi perisikan pertahanannya memberitahu Military Times bahawa beliau percaya Russia mampu bersiap sedia untuk serangan menjelang akhir Januari atau awal Februari termasuk serangan udara, kenderaan amfibia dan pencerobohan melalui Belarus.

Sementara itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, menolak laporan sedemikian semalam dengan menyifatkan ketakutan itu sengaja diwujudkan. - AGENSI

Berita Harian X