Isnin, 22 November 2021 | 9:06am
Polis bersenjata menaiki trak meronda di ibu negara Haiti Port-au-Prince. - Foto AFP
Polis bersenjata menaiki trak meronda di ibu negara Haiti Port-au-Prince. - Foto AFP

2 daripada 17 tebusan di Haiti dibebaskan

PORT-AU-PRINCE: Dua daripada 17 warga Amerika Utara yang diculik oleh kumpulan Haiti pada pertengahan Oktober lalu dibebaskan dan dilaporkan dalam keadaan baik.

Kementerian Bantuan Kristian yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan, berkata maklumat terhad dan hanya laporan dua tebusan selamat dan baik dibebaskan dapat diberikan.

"Tebusan ialah 12 orang dewasa berumur 18 hingga 48 tahun dan lima kanak-kanak berumur antara lapan bulan hingga 15 tahun.

"Kami tidak boleh memberikan atau mengesahkan nama, sebab, asal dan lokasi mereka yang dibebaskan.

"Bagaimanapun, kami masih bimbang mengenai 15 orang yang masih ditahan," katanya.

Sekumpulan 16 mubaligh berserta keluarga warga Amerika dan seorang Kanada diculik pada 16 Oktober ketika pulang dari rumah anak yatim di kawasan timur ibu kota Port-au-Prince yang dikawal oleh satu daripada kumpulan jenayah paling berkuasa di Haiti.

AS menasihatkan rakyatnya untuk tidak pergi ke Haiti disebabkan kes penculikan yang kerap menyasarkan warga Amerika.

Menurut sumber keselamatan, penculik menuntut wang tebusan sebanyak AS$17 juta (RM71.21 juta), namun tiada butiran mengenai perkara itu diberikan oleh gereja.

Kes penculikan di Haiti menunjukkan peningkatan penguasaan kumpulan samseng ke atas negara, sesuatu yang tidak dapat dibendung oleh agensi penguatkuasaan undang-undang.

Pusat Analisis dan Penyelidikan dalam Hak Asasi Manusia (CARDH), berkata pada akhir Oktober, sekurang-kurangnya 782 orang diculik untuk wang tebusan sejak Januari di Haiti, hampir sama ramainya pada keseluruhan tahun 2020 yang menyaksikan 796 penculikan secara keseluruhan. - AFP

Berita Harian X