Sabtu, 20 November 2021 | 12:51pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

COVID-19 tingkat risiko lahir bayi mati dalam kandungan

WASHINGTON: Wanita hamil dijangkiti COVID-19 berdepan risiko melahirkan bayi meninggal dunia dalam kandungan, dua kali lebih tinggi berbanding mereka yang tidak menghidap penyakit itu, menurut satu kajian oleh Kerajaan Amerika Syarikat (AS), semalam.

Malah, hasil kajian itu mendapati risiko terbabit meningkat kepada kira-kira empat kali ganda sepanjang tempoh varian Delta menjadi dominan.

Analisis itu dilakukan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) berdasarkan lebih 1.2 juta kelahiran bayi antara Mac 2020 hingga September lalu daripada sebuah pangkalan data hospital AS yang besar.

Secara keseluruhan, kelahiran bayi mati dalam kandungan adalah sangat jarang dengan membabitkan 0.65 peratus atau 8,154 kelahiran bayi.

Namun selepas menggunakan kaedah statistik bagi mengambil kira kesan pemboleh ubah lain, kelahiran bayi meninggal dunia dalam kandungan didapati 1.47 kali lebih tinggi dalam kalangan wanita hamil dijangkiti COVID-19 pra-Delta.

Ia didapati 4.04 kali lebih tinggi selepas kemunculan varian Delta, dan 1.90 kali lebih tinggi secara keseluruhan.

Menurut pengarangnya, penyelidikan sebelum ini pernah menggariskan pendapat bahawa punca biologi berpotensi meningkatkan risiko itu boleh disebabkan keradangan atau penurunan aliran darah ke plasenta.

Keadaan seperti tekanan darah tinggi kronik, kecederaan jantung, plasenta terpisah dari rahim, sepsis, aliran darah lemah mengakibatkan kejutan, kecederaan paru-paru yang boleh mengancam nyawa, terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan atau dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), dikaitkan dengan peningkatan kadar kelahiran bayi mati dalam kandungan membabitkan wanita hamil yang dijangkiti COVID-19.

"Kajian tambahan wajar dilakukan bagi menyiasat peranan komplikasi ibu berkaitan COVID-19, pada risiko kelahiran bayi mati dalam kandungan," katanya.

Pengarang terbabit menjelaskan, kajian itu ialah antara paling kukuh, setakat ini, yang mengaitkan COVID-19 dengan kelahiran bayi mati dalam kandungan.

"Analisis semasa ini merangkumi data tahun tambahan, sekali gus memberi semakin banyak bukti mengaitkan COVID-19 dengan peningkatan risiko kelahiran bayi meninggal dunia dalam kandungan," katanya. - AFP

Berita Harian X