Rabu, 27 Oktober 2021 | 6:35pm
Gloria Williams (kiri) bersama pasangannya Brian Coulter. - Foto Media Sosial
Gloria Williams (kiri) bersama pasangannya Brian Coulter. - Foto Media Sosial

Pasangan kekasih abai 4 anak ditahan

WASHINGTON: Seorang ibu didakwa mengabaikan empat anak lelakinya, ditahan di Texas bersama pasangannya yang disyaki membunuh salah seorang kanak-kanak lelaki itu, kata seorang sherif tempatan, semalam.

Tiga daripada empat kanak-kanak itu ditemui di sebuah pangsapuri di Houston, Ahad lalu, di mana mereka tinggal bersama rangka abang mereka.

Pasangan ibunya, Brian Coulter, 31, didakwa atas kesalahan pembunuhan budak lelaki berusia 8 tahun ketika mendiang maut, pada 2020.

Wanita terbabit, Gloria Williams, 35, didakwa atas kesalahan mencederakan seorang kanak-kanak akibat kealpaan dan mengganggu bukti.

Anak sulungnya berusia 15 tahun, memberitahu polis adiknya sudah setahun meninggal dunia dan mayatnya berada bersebelahnya di dalam bilik.

Sherif Harris County, Ed Gonzalez di Twitter, berkata polis Texas percaya ibu bapa mereka tidak menginap di pangsapuri itu selama beberapa bulan.

Kanak-kanak terbabit mendapat bekalan makanan daripada jiran mereka.

Bercakap pada sidang media, Gonzalez berkata, keadaan itu 'sangat mengerikan dan tragis' bagi kanak-kanak terbabit yang hidup dalam keadaan 'menyedihkan' ketika mereka ditemui.

Katanya, anak sulungnya berusaha menjaga dua lagi adik kecilnya berusia tujuh dan 10 tahun, tetapi kedua-duanya 'kelihatan kekurangan zat dan menunjukkan tanda kecederaan fizikal.

Tiga daripada kanak-kanak itu berhenti bersekolah pada Mei 2020, tetapi tindakan ke atas ibu terbabit susulan ketidakhadiran, digugurkan kerana pandemik.

Tiga beradik yang masih hidup berada dalam jagaan Jabatan Keluarga dan Perkhidmatan Perlindungan Texas. - AFP

Berita Harian X