Khamis, 21 Oktober 2021 | 3:21pm
Gambar fail (hiasan) - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Gambar fail (hiasan) - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

FDA lulus strategi 'campur dan padan' dos penggalak

WASHINGTON: Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan (FDA) Amerika Syarikat (AS) semalam meluluskan penggunaan strategi 'campur dan padan' ke atas individu yang memerlukan suntikan penggalak vaksin COVID-19.

"FDA telah menentukan bahawa faedah diketahui dan berpotensi daripada penggunaan dos penggalak heterologi tunggal, adalah melebihi risiko diketahui dan berpotensi daripada penggunaannya, dalam kalangan populasi yang layak," menurut agensi itu dalam satu kenyataan.

Penggunaan vaksin Pfizer, Moderna dan Johnson & Johnson (J&J) sudah diluluskan di AS.

Satu dos daripada mana-mana vaksin berkenaan kini boleh digunakan selepas lengkap imunisasi utama, bersama jenis vaksin COVID-19 yang berlainan.

Berdasarkan keputusan baharu itu, individu yang sudah menerima dua suntikan Moderna serta berusia 65 tahun atau ke atas; berumur 18 tahun ke atas dan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19; ataupun berusia 18 tahun ke atas dan berdepan pendedahan tinggi akibat pekerjaan, kini boleh menerima dos penggalak.

Semua individu dewasa yang menerima suntikan tunggal vaksin J&J lebih dua bulan lalu, juga layak untuk mendapatkan dos penggalak.

Sebelum ini, hanya golongan imunokompromi, warga emas atau kumpulan berisiko tinggi dan sudah menerima dos lengkap vaksin Pfizer, layak untuk mendapatkan suntikan dos penggalak. - AFP

Berita Harian X