Jumaat, 15 Oktober 2021 | 6:33am
 Foto AFP
Foto AFP

Pakar AS syor dos penggalak Moderna bagi golongan berisiko

WASHINGTON: Jawatankuasa pakar Amerika Syarikat (AS) mencadangkan dos penggalak vaksin COVID-19 Moderna kepada golongan berisiko di negara ini, sebulan selepas keputusan sama dibuat untuk dos Pfizer.

Cadangan itu dikemukakan jawatankuasa penasihat Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) membabitkan penyelidik, pakar epidemiologi dan penyakit berjangkit.

Selepas sehari dibahaskan, pakar memutuskan untuk membenarkan dos penggalak Moderna untuk tiga kategori penerima iaitu mereka yang berusia lebih 65 tahun, individu yang berusia antara 18 dan 64 tahun dengan komorbiditi dan pekerja berisiko tinggi.

Definisi sama dilakukan ke atas dos penggalak Pfizer.

Kategori terakhir membabitkan pekerja pasar raya, petugas kesihatan, tahanan dan gelandangan.

Dos penggalak boleh diberikan enam bulan selepas dos kedua vaksin Moderna dengan jumlah dos sebanyak 50 mikrogram, separuh daripada dos terdahulu.

Wakil Moderna memberitahu panel jawatankuasa bahawa dos penggalak itu berupaya mengekang penularan varian Delta ketika keberkesanan vaksin dilihat menurun dari semasa ke semasa terhadap jangkitan dan kes ringan COVID-19 walaupun tetap berkenan terhadap kes yang teruk.

Jawatankuasa itu akan bermesyuarat sekali lagi hari ini untuk membuat keputusan terhadap dos penggalak untuk vaksin Johnson & Johnson (J&J).

Ia juga akan membincangkan hasil kajian diterbitkan minggu ini yang melihat kemungkinan menggunakan vaksin berbeza untuk suntikan ketiga yang pada masa ini tidak dibenarkan di AS.

Kajian menunjukkan penerima vaksin J&J boleh mendapat manfaat daripada dos penggalak vaksin RNA messenger berbeza seperti Pfizer atau Moderna.

Hampir 15 juta penduduk AS menerima dos vaksin J&J dan hampir 70 juta orang diberi vaksin sepenuhnya dengan Moderna.

Sekiranya FDA secara rasmi membenarkan suntikan penggalak untuk dua jenis vaksin ini, jawatankuasa pakar dari Pusat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (CDC) perlu mengemukakan pandangan minggu depan, pada pertemuan yang dijadualkan pada Rabu dan Khamis. - AFP

Berita Harian X