Jumaat, 8 Oktober 2021 | 8:46pm
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres. - Foto AFP
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres. - Foto AFP

Enggan kongsi vaksin perbuatan tidak bermoral, bodoh - Guterres

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran usaha vaksinasi di negara maju boleh musnah tanpa pengedaran vaksin global yang lebih cekap.

Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres, menempelak negara yang enggan berkongsi vaksin sebagai tidak bermoral dan bodoh kerana gagal melihat kesan perbuatan mereka pada peringkat global.

"Sekiranya kita membiarkannya terus berlanjutan dan virus tersebar luas seperti kebakaran hutan, risikonya ialah coronavirus mungkin bermutasi bagi melawan vaksin, biar pun tidak ada lagi varian Delta atau varian lain yang ada sekarang.

"Maknanya, semua usaha vaksinasi dilakukan negara maju, yang menyuntik seluruh penduduk mereka, baik sekali, dua atau tiga kali, semuanya tidak berguna dan mereka ini tidak akan dilindungi.

"Jadi, ketiadaan program pengedaran vaksin yang adil bukan hanya tidak bermoral tetapi juga sesuatu yang bodoh," katanya pada sidang media bersama Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesuss.

Guterres menggesa dana AS$8 bilion (RM33.4 bilion) dapat dipercepatkan sebagai bantuan memberikan vaksin secara adil kepada 40 peratus individu di seluruh dunia menjelang akhir tahun ini.

Guterres mendesak kumpulan negara kaya G20 supaya memenuhi sasaran mereka untuk inokulasi sejagat sidang kemuncak di Rom akhir bulan ini.

WHO menyasarkan supaya 70 peratus penduduk dunia dapat melengkapkan dua dos vaksin menjelang pertengahan 2022.

Ia turut menyasarkan untuk menyuntik vaksin kepada 10 peratus penduduk setiap negara dan wilayah sebelum September tetapi setakat ini, 56 negara gagal mencapai sasaran itu, kebanyakannya di Afrika dan Asia Barat.

Setakat ini, lebih daripada 6.3 bilion dos vaksin COVID-19 sudah disedarkan ke seluruh dunia, bagaimanapun lebih daripada separuh penduduk dunia belum menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin itu.

Kurang lima peratus penduduk Afrika diinokulasi sepenuhnya, menurut pegawai kesihatan awam tertinggi benua itu.

Justeru, WHO merancang meminta negara dengan liputan vaksin yang tinggi untuk membolehkan pengiriman dos tambahan ke program perkongsian vaksin global COVAX dan Kepercayaan Pemerolehan Vaksin Afrika (AVAT) untuk diedarkan ke tempat yang sangat diperlukan.

Ia juga ingin negara kaya memenuhi dan mempercepatkan komitmen sumbangan vaksin kepada COVAX dan membuat janji baru.

PBB turut meminta pengeluar ubat untuk mengutamakan dan segera memenuhi kontrak vaksin COVAX dan AVAT, telus mengenai data pengeluaran bulanan dan memberi jadual bulanan jelas untuk bekalan ke COVAX, AVAT dan negara berpendapatan rendah.

Tedros juga mempersoalkan mengapa kebanyakan negara tidak dapat menyetujui pemansuhan sementara hak harta intelek mengenai vaksin dan rawatan COVID-19 di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Rundingan mengenai langkah seperti itu yang diusulkan oleh Afrika Selatan dan India sejak setahun lalu menemui jalan buntu dan kekal tanpa arah. AGENSI

Berita Harian X