Ahad, 26 September 2021 | 8:00am
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, mempengerusikan mesyuarat QUAD, yang dihadiri Perdana Menteri India, Narendra Modi; Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga dan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, di Rumah Putih. - Foto EPA
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, mempengerusikan mesyuarat QUAD, yang dihadiri Perdana Menteri India, Narendra Modi; Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga dan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, di Rumah Putih. - Foto EPA

Pemimpin 4 negara QUAD bincang isu vaksin COVID-19

WASHINGTON: Pertemuan pertama secara fizikal pemimpin kumpulan negara QUAD merangkumi Amerika Syarikat (AS), Jepun, Australia dan India, antara lain membincangkan isu berkaitan pengagihan vaksin COVID-19.

Presiden AS, Joe Biden; Perdana Menteri India, Narendra Modi; Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga dan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, difahamkan banyak membincangkan mengenai vaksinasi di rantau Indo-Pasifik.

Menurut seorang pegawai AS yang enggan dikenali, mesyuarat di Rumah Putih itu menekankan komitmen pada pertemuan maya pemimpin QUAD Mac lalu untuk menyediakan satu bilion suntikan COVID-19 di Asia menjelang akhir 2022.

"Kami mempunyai apa yang kami sebut sebagai perkara yang boleh dilakukan dalam bidang prasarana, pembabitan kesihatan lebih luas mengenai sains dan teknologi di ruang angkasa dan siber.

"Jelas, terdapat cabaran pengeluaran vaksin di India tetapi kami percaya adalah penting untuk memenuhi matlamat yang kami tetapkan sebelum ini," katanya.

Inisiatif Mac terpaksa ditangguhkan selepas India, pengeluar vaksin terbesar di dunia, dilanda kenaikan jangkitan yang dahsyat dan menghentikan semua eksport vaksin.

India kini mengatakan ia bersedia memulakan semula eksport vaksin mulai bulan depan, mengutamakan inisiatif perkongsian vaksin antarabangsa COVAX dan negara jirannya terlebih dulu. - AGENSI

Berita Harian X