Rabu, 15 September 2021 | 10:40am
Tiga bekas ejen perisik AS mengaku mengambil bahagian dalam operasi penggodaman Emiriah Arab Bersatu (UAE). - Foto AFP
Tiga bekas ejen perisik AS mengaku mengambil bahagian dalam operasi penggodaman Emiriah Arab Bersatu (UAE). - Foto AFP

3 perisik AS mengaku menggodam untuk UAE

WASHINGTON: Tiga bekas ejen perisik Amerika Syarikat (AS) mengaku di mahkamah Virginia semalam mengambil bahagian dalam operasi penggodaman Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang ditujukan kepada musuh dan pesaing negara Teluk itu.

Marc Baier, 49, Ryan Adams, 34, dan Daniel Gericke, 40, bersetuju membayar denda terkumpul AS$1.7 juta (RM7.07 juta), jumlah yang mereka peroleh semasa bekerja di UAE, untuk menyelesaikan tuduhan melanggar kawalan eksport AS, penipuan komputer dan penggunaan haram akses komputer orang lain.

Mahkamah persekutuan daerah Alexandria, Virginia bersetuju untuk menangguhkan pendakwaan selama tiga tahun dalam kes kompleks itu, yang menyerlahkan pasaran global kerajaan yang mencari pakar keselamatan komputer terlatih untuk mengintip musuh dan yang dirasakan ancaman.

Ketiga-tiga defendan pernah bekerja di komuniti perisik AS, termasuk Agensi Keselamatan Nasional dan tentera.

Menurut jabatan kehakiman, mereka telah bekerja untuk sebuah syarikat AS yang menyediakan operasi perisikan siber untuk kerajaan UAE yang memenuhi peraturan AS.

Mereka kemudian berpindah ke pekerjaan dengan gaji lebih tinggi di sebuah syarikat berkaitan kerajaan UAE pada 2016, yang dikenali dalam laporan media sebagai DarkMatter, di mana mereka mula melakukan pekerjaan penggodaman terhadap sasaran yang ditentukan, termasuk pelayan di AS.

Satu daripada pekerjaan itu memberi mereka akses haram ke 'puluhan juta' telefon pintar dan peranti mudah alih, kata jabatan kehakiman.

Sasaran khusus operasi tidak dikenal pasti.

Namun, laporan media menyatakan bahawa sasarannya adalah di dalam dan di luar negara, dan kaedah operasi terdiri daripada memuat naik perisian yang menjejaskan dan memanfaatkan kelemahan perisian dan perkakasan untuk menerobos masuk dan mendapatkan kawalan pelayan, telefon dan peralatan digital lain.

Selain membayar denda, ketiga-tiga lelaki itu dilucutkan kelulusan keselamatan AS, dilarang dari komuniti perisik AS dan dilarang menggodam.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS akan menyelidiki sepenuhnya individu dan syarikat yang mendapat keuntungan daripada aktiviti siber jenayah haram," kata Penolong Pengarah FBI, Bryan Vorndran dalam satu kenyataan. - AFP

Berita Harian X