Ahad, 12 September 2021 | 6:26pm
Winston, 48, satu daripada gorila yang disahkan dijangkiti COVID-19. - Foto AFP
Winston, 48, satu daripada gorila yang disahkan dijangkiti COVID-19. - Foto AFP

Gorila di zoo AS dirawat akibat COVID-19

WASHINGTON: Beberapa gorila di Zoo Atlanta di negeri selatan Amerika Selatan (AS), Georgia diuji positif virus COVID-19, kata zoo itu.

Gorila terbabit diuji selepas penjaga melihat mereka batuk dan gejala lain, katanya.

Ujian awal menunjukkan mereka positif terhadap virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan COVID-19 dan zoo itu menyatakan dalam satu kenyataan Jumaat lalu bahawa pihaknya sedang menunggu keputusan ujian pengesahan dari Makmal Perkhidmatan Veterinar Nasional di Ames, Iowa.

Gorila yang berisiko mengalami komplikasi sedang dirawat dengan antibodi monoklonal dan seluruh populasi zoo sebanyak 20 gorila sedang diuji.

"Pasukan ini mengawasi gorila yang terjejas dengan teliti dan berharap mereka akan pulih sepenuhnya. Mereka mendapat perawatan terbaik," kata Sam Rivera, pengarah kanan kesihatan haiwan di Zoo Atlanta.

"Kami sangat prihatin ekoran jangkitan ini terjadi, terutama kerana protokol keselamatan kami ketika bekerja dengan kera besar dan spesies haiwan rentan yang lainnya, dan sepanjang pandemik ini sangat ketat."

Zoo itu menyatakan ia percaya gorila dijangkiti oleh penjaga asimtomatik, walaupun pekerja itu diberi vaksin sepenuhnya dan memakai alat pelindung diri.

"Walaupun manusia diketahui dapat menyebarkan virus ke haiwan seperti gorila, dan kes-kes ini telah terjadi di zoo lain, ketika ini tidak ada data yang menunjukkan bahawa haiwan zoo dapat menyebarkan virus terbabit kepada manusia," kata zoo itu.

Bagaimanapun, ia menyatakan bahawa pengunjung tidak menimbulkan ancaman kerana jarak antara mereka dan habitat binatang.

Atlanta Journal-Constitution melaporkan 13 gorila zoo dijangkiti, termasuk Ozzie yang berusia 60 tahun, gorila jantan tertua dalam kurungan.

Rivera memberitahu akhbar itu bahawa Ozzie menunjukkan gejala ringan.

"Kami tidak fikir kami tidak mampu berbuat apa-apa," tambahnya.

"Kami memantaunya dari hari ke hari."

Zoo Atlanta menyatakan telah diberi kuasa untuk menggunakan vaksin Zoetis COVID, yang dibangunkan untuk haiwan, dan akan menyuntik gorila apabila mereka pulih.

Zoo itu menyatakan, ia juga akan memvaksinasi orang utan, harimau Sumatera, singa Afrika dan harimau dahan.

COVID-19 juga diketahui menjangkiti kucing dan anjing peliharaan. - AFP

Berita Harian X