Sabtu, 11 September 2021 | 10:12am
Presiden AS, Joe Biden dan isteri, Jill Biden keluar daripada pesawat Air Force One selepas tiba di Lapangan Terbang LaGuardia di New York bagi melawat lokasi serangan 9/11. - Foto AFP
Presiden AS, Joe Biden dan isteri, Jill Biden keluar daripada pesawat Air Force One selepas tiba di Lapangan Terbang LaGuardia di New York bagi melawat lokasi serangan 9/11. - Foto AFP

Ulang tahun 9/11: Biden gesa rakyat Amerika bersatu

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dalam video yang disiarkan sempena ulang tahun ke-20 serangan 9/11, meminta rakyat Amerika mengekalkan perpaduan.

"Perpaduan adalah kekuatan terbesar kita.

"Bagi saya, itulah pelajaran utama daripada peristiwa serangan 9/11, " kata Biden menerusi kenyataan video berdurasi enam minit dari Rumah Putih.

Biden dan isteri, Jill Biden hari ini akan melawat ke tiga lokasi serangan 11 September 2001: New York, Shanksville, Pennsylvania dan Pentagon di Arlington, Virginia, untuk memperingati ribuan nyawa yang terkorban dalam tragedi itu, 20 tahun lalu.

Naib Presiden AS, Kamala Harris dan suami Douglas Emhof akan ke Shanksville dalam satu acara berasingan sebelum menyertai Presiden di Pentagon.

Namun, Presiden AS itu yang menerima banyak kritikan mengenai pengurusannya ketika membawa keluar tentera dari Afghanistan dan usaha memerangi pandemik COVID-19, dijangka tidak membuat sebarang ucapan umum ketika melawat lokasi berkenaan.

"Perpaduan tidak bermaksud kita harus mempercayai perkara yang sama, tetapi kita mesti mempunyai rasa hormat dan kepercayaan antara satu sama lain dan kepada negara ini," kata Biden dalam kenyataan videonya.

Pada 11 September 2001, empat pesawat dirampas Al-Qaeda, dua merempuh bangunan World Trade Center (WTC) di New York manakala sebuah lagi pesawat melanggar bangunan Pentagon berhampiran Washington, DC. Pesawat keempat terhempas di Pennsylvania.

Berikutan peristiwa itu AS melancarkan "Operation Enduring Freedom" dan Presiden George W Bush ketika itu mengumumkan serangan udara yang menyasarkan Al Qaeda dan Taliban. Taliban menolak untuk mengekstradisi anggota Al Qaeda.

AS akhirnya memutuskan untuk keluar dari Afghanistan dan pasukan tentera AS yang terakhir meninggalkan negara itu adalah pada pagi 31 Ogos. - AFP

Berita Harian X