Jumaat, 10 September 2021 | 6:23pm
Gambar fail menunjukkan pekerja membersihkan sisa runtuhan bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, Amerika Syarikat (AS). - Foto EPA
Gambar fail menunjukkan pekerja membersihkan sisa runtuhan bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, Amerika Syarikat (AS). - Foto EPA

Pekerja migran bersih sisa runtuhan 9/11 tuntut pampasan

NEW YORK: Pekerja migran terbabit dalam kerja pembersihan di Ground Zero dan bangunan lain berdekatan tapak serangan 9/11 di New York menuntut pampasan.

Selepas 20 tahun, mereka kini menghidap pelbagai penyakit dipercayai berpunca daripada pendedahan kepada bahan toksik semasa operasi pembersihan selain tekanan, keresahan serta kemurungan pasca trauma.

Puluhan ribu orang, termasuk ramai pekerja migran yang sudah berada di Amerika Syarikat (AS), bertugas membersihkan kawasan itu selama berbulan-bulan selepas serangan terbabit.

Mereka membersihkan sekitar 1.8 juta tan runtuhan dan dibayar AS$7.50 (RM31) hingga AS$10 (RM41) sejam, tinggi sedikit daripada gaji minimum waktu itu.

Tugas itu mendedahkan mereka kepada bahan seperti asbestos dan sisa toksik lain, membawa risiko barah dan asbestosis (penyakit paru-paru akibat pendedahan kepada asbestos) dan pelbagai penyakit pernafasan lain.

Ramai antara mereka kini tidak boleh bekerja disebabkan penyakit yang dialami dan berharap dapat menjadi penduduk sah AS bagi membolehkan mereka menerima faedah dan hidup tanpa bimbang dihantar pulang ke negara asal.

Pada 2017, seorang wakil Demokrat dari New York memperkenalkan rang undang-undang mengenai isu itu tetapi ia tidak pernah dibahaskan di Kongres.

Lebih 2,000 pekerja pembersihan, penyelamat dan pegawai polis meninggal dunia akibat penyakit yang dikaitkan dengan 9/11, menurut dana persekutuan pampasan mangsa.

Ramai yang bekerja secara tidak sah, termasuk yang sakit, dipaksa pulang ke negara masing-masing sepanjang beberapa tahun lalu, kata pekerja sosial.

Kebanyakan pekerja pembersihan 9/11 mempunyai perlindungan perubatan penuh menerusi program kesihatan persekutuan Pusat Dagangan Dunia (WTC) tetapi ramai belum menerima pampasan bagi penyakit mereka.

Hanya beberapa pekerja yang memfailkan saman terhadap New York dan syarikat yang menggaji mereka mendapat pampasan.

Pada 2011, Kongres meluluskan bayaran maksimum $250,000 bagi penyakit barah yang dikaitkan dengan serangan 9/11. - AFP

Berita Harian X