Isnin, 30 Ogos 2021 | 11:17am
Kenderaan yang rosak kelihatan di hadapan sebuah bangunan yang roboh akibat dilanda Taufan Ida di New Orleans, Louisiana di Amerika Syarikat. - Foto AFP
Kenderaan yang rosak kelihatan di hadapan sebuah bangunan yang roboh akibat dilanda Taufan Ida di New Orleans, Louisiana di Amerika Syarikat. - Foto AFP

Taufan Ida hentam Louisiana

NEW ORLEANS: Taufan Ida hari ini membadai selatan Louisiana, 16 tahun selepas Taufan Katrina memusnahkan New Orleans di selatan Amerika Syarikat (AS).

Ida semalam menghentam pesisiran pantai Louisiana sebagai ribut kategori 4 tetapi berkurangan kepada kategori 3 menjelang petang, kekuatan sama yang dimiliki Taufan Katrina ketika mula melanda pada 2005.

Pusat Taufan Kebangsaan (NHC), dalam nota nasihatnya, memberi amaran bahawa Ida kekal berbahaya sebagai taufan kategori 3 pada Skala Tiupan Taufan Saffir-Simpson.

"Ia dijangka bertambah lemah pada hari berikut atau seterusnya, namun Ida tetap dikategorikan sebagai taufan sehingga lewat malam ini," katanya.

NHC juga memberi amaran bahawa ribut kencang mungkin mewujudkan 'keadaan membahayakan nyawa' dan menggesa penduduk di kawasan terjejas mengambil segala langkah berjaga-jaga yang perlu bagi melindungi nyawa dan harta.

Petang semalam, Ida mencapai kelajuan angin maksimum 195 kilometer (km) sejam, kurang sedikit berbanding ketika ketibaannya di Port Fourchon, Louisiana, kira-kira 160 km ke selatan New Orleans.

Presiden AS, Joe Biden, menyifatkan Ida sebagai 'ribut yang mengancam nyawa' yang mampu memusnahkan apa saja yang menghadapinya dan meminta mereka di kawasan bencana supaya bersiap sedia serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

gabenor New Orleans, John Bel Edwards, berkata Ida mungkin menjadi ribut taufan paling kencang melanda negeri itu sejak 1850.

"Tidak syak lagi dalam hari dan minggu mendatang ini keadaan akan bertambah sukar, ada yang mungkin terpaksa berlindung sehingga 72 jam.

"cari tempat paling selamat di dalam rumah anda dan kekal di situ sehingga taufan berlalu," katanya pada taklimat semalam menerusi ciapan Twitter.

Setakat ini, pekan Grand Isle sudah ditenggelami banjir termasuk pulau tebatan banjir di selatan New Orleans dan lebuh raya di kawasan rendah turut ditenggelami air manakala keseluruhan New Orleans sudah terputus bekalan elektrik.

Semalam, Rumah Putih berkata agensi persekutuan sudah mengerahkan lebih 2,000 kakitangan kecemasan ke kawasan bencana termasuk 13 pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama bekalan makanan, air dan penjana kuasa.

Pihak berkuasa tempatan seperti Palang Merah dan pertubuhan lain turut menyediakan puluhan pusat perlindungan yang mampu menempatkan sekurang-kurangnya 16,000 orang.

Namun, kesemua usaha untuk menghadapi taufan itu dikhuatiri membawa musibah lain berikutan ancaman pandemik COVID-19 di kawasan itu masih lagi serius.

Pakar sains pula mengeluarkan amaran bahawa sebarang bencana alam sekarang terutama taufan dan puting beliung, mungkin lebih hebat kesannya berikutan pemanasan permukaan laut, sekali gus membahayakan penduduk di pesisir pantai. - AFP

Berita Harian X