Khamis, 12 Ogos 2021 | 6:17pm
Jeneral Kanan junta tentera Myanmar, Min Aung Hlaing, didakwa cuba memperkukuhkan kedudukan dengan menyingkirkan parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) diketuai Aung San Suu Kyi. - Foto AFP
Jeneral Kanan junta tentera Myanmar, Min Aung Hlaing, didakwa cuba memperkukuhkan kedudukan dengan menyingkirkan parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) diketuai Aung San Suu Kyi. - Foto AFP

PBB: Junta Myanmar berusaha kukuhkan kuasa

NEW YORK: Wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, Christine Schraner Burgener, mendakwa junta tentera Myanmar kini berazam memperkukuh kuasa selepas rampasan kuasa 1 Februari lalu.

Malah, parti politik utama, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) diketuai pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, dijangka digugurkan selepas pembatalan rasmi keputusan pilihan raya umum November lalu yang dimenangi NLD.

Schraner Burgener memetik pengumuman yang dibuat pemimpin junta, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, pada bulan ini bahawa beliau kini adalah perdana menteri dalam satu pemerintah sementara.

Dalam pada itu, junta tentera Myanmar menegaskan ia tiada kaitan dengan rancangan menyerang Wakil Tetap Myanmar ke PBB, Kyaw Moe Tun, yang dipecat kerana menentang tentera dan menyokong gerakan prodemokrasi.

Moe Tun menjadi tajuk utama berita selepas rampasan kuasa tentera pada Februari lalu apabila dengan beraninya tidak mengendahkan arahan bahawa beliau bukan lagi mewakili Myanmar di pertubuhan dunia berpusat di New York itu.

Beliau dipecat pada 27 Februari lalu kerana didakwa junta tentera meminta sokongan antarabangsa untuk melakukan tindakan terbaik bagi mengembalikan demokrasi berikutan rampasan kuasa tentera di Myanmar.

Minggu lalu, pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) mensabitkan tuduhan ke atas dua warga Myanmar kerana merancang untuk mengupah pembunuh bagi memaksanya (Moe Tun) mengundurkan diri atau jika enggan, membunuhnya.

Akhbar New New Light of Myanmar yang disokong junta tentera negara itu, hari ini melaporkan Myanmar tiada kaitan dengan kejadian itu.

"Plot itu dikatakan berlaku dalam kalangan penduduk di AS. Tindakan wajar diambil sesuai dengan perundangan negara itu," katanya dalam komen pertama junta mengenai kes terbabit.

Suspek, Phyo Hein Htut, 28 tahun, dan Ye Hein Zaw, 20 tahun, didakwa di Mahkamah Persekutuan AS, yang boleh disabitkan hukuman penjara hingga lima tahun.

Lebih 900 orang terkorban di Myanmar apabila tentera berusaha menyuraikan tunjuk perasaan menyusuli rampasan kuasa sejak Februari lalu, menurut sebuah kumpulan pemantau tempatan.

Moe Tun, yang dikehendaki di Myanmar kerana didakwa khianat berulang kali, meminta campur tangan antarabangsa untuk menghentikan rusuhan dan mengembalikan kerajaan sivil.

Minggu lalu, beliau mengutus surat kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, melaporkan mengenai dakwaan pembunuhan 40 orang awam oleh tentera di wilayah Sagaing di barat laut Myanmar bulan lalu. - AFP.

Berita Harian X