Jumaat, 6 Ogos 2021 | 11:52am
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken. - Foto AFP
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken. - Foto AFP

AS, Indonesia adakan dialog strategik

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan dialog strategik dengan Indonesia bagi membincangkan pelbagai isu dua hala berkepentingan bersama.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, berkata kerjasama antara kedua -dua negara itu turut merangkumi mempertahankan kebebasan pelayaran di Laut China Selatan.

Bertemu di Washington, Blinken dan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, turut bersetuju bekerjasama bagi memerangi COVID-19 dan perubahan iklim serta mempertingkat hubungan perdagangan dan ekonomi dua hala.

Indonesia selaku negara dan ekonomi terbesar ASEAN, dilihat Washington sebagai penting kepada usahanya membendung pengaruh China yang semakin meningkat di Asia.

Kedua-dua negara bersetuju menjalin 'kerjasama strategik' pada 2015, namun Blinken pada sidang media bersama Retno, memberitahu wartawan dialog itu sebenarnya baru saja dimulakan.

"Indonesia rakan demokratik kuat bagi AS, kami bekerjasama dalam banyak bidang berlainan," katanya, sambil menambah bahawa Washington menghargai 'suara lantang' Jakarta dalam ASEAN.

Retno pula memberitahu Blinken bahawa perkongsian kuat dengan Indonesia akan menjadi aset utama untuk meningkatkan pembabitan AS di rantau Asia Tenggara.

"AS salah antara rakan penting ASEAN dalam melaksana hala tuju masa depan di wilayah Indo-Pasifik.

"Menjadi harapan saya, dan juga pemerintah Indonesia, memajukan hubungan dua hala bersama AS daripada bidang kesihatan kepada matlamat pembangunan mapan, daripada pendidikan kepada ekonomi, dan seterusnya," katanya.

Retno dan Blinken juga menyatakan pandangan bersama mengenai keamanan maritim dan komitmen mempertahan kebebasan laluan perkapalan di Laut China Selatan selain terus bekerjasama mencegah jenayah siber.

Menurut kenyataan jabatan Negara AS, Blinken memuji usaha Indonesia menyokong rundingan damai Afghanistan dan menekankan pentingnya mengembalikan jalan ke arah demokrasi di Myanmar selaku negara anggota ASEAN.

Pertemuan itu diadakan sebelum Blinken menyertai pertemuan maya dengan pemimpin negara ASEAN, yang beberapa anggotanya terbabit dalam tuntutan bertindih ke atas beberapa kawasan di Laut China Selatan dengan China.

Blinken dijadual menyertai pertemuan selama seminggu dengan rakan serantau sebagai sebahagian usaha AS menunjukkan ia serius mahu menyokong negara rantau Asia Tenggara membendung pengaruh China. - AGENSI.

Berita Harian X