Selasa, 3 Ogos 2021 | 11:34am
Kumpulan aktivis memaparkan potret Ketua Junta Myanmar, Min Aung Hlaing ketika tunjuk perasaan di Jakarta April lalu. - Foto AP
Kumpulan aktivis memaparkan potret Ketua Junta Myanmar, Min Aung Hlaing ketika tunjuk perasaan di Jakarta April lalu. - Foto AP

AS tolak rancangan pilihan raya Myanmar

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) berkata, junta Myanmar melengah-lengahkan masa dengan jangka waktu dua tahun pilihan raya ketika Setiausaha Negara, Antony Blinken bersedia untuk menggesa ASEAN untuk melantik utusan.

Blinken menyertai perbincangan secara maya dengan menteri luar ASEAN, satu tawaran terbaru oleh pentadbiran Presiden Joe Biden untuk berada di hadapan dalam persaingan AS dengan China.

Menjelang rundingan ASEAN, ketua junta Myanmar berjanji untuk mengadakan pilihan raya dan menarik balik darurat menjelang Ogos 2023, memanjangkan tempoh masa awal yang diberikan kepada tentera yang menggulingkan pemimpin yang dipilih, Aung San Suu Kyi pada 1 Februari.

"Tindakan itu menunjukkan ASEAN harus meningkatkan usahanya kerana jelas junta Burma hanya melengahkan masa untuk keuntungannya sendiri", kata seorang pegawai kanan AS.

"Semakin banyak alasan mengapa ASEAN harus terbabit dalam hal ini dan menegakkan syarat lima poin konsensus yang juga ditandatangani oleh Myanmar.

"Ketua Junta, Min Aung Hlaing menghadiri pertemuan dengan anggota ASEAN mengenai krisis pada April lalu yang menghasilkan kenyataan konsensus yang menyeru keganasan dihentikan dan utusan khas wilayah dilantik."

Tetapi, pemimpin junta kemudian menjauhkan diri dan tiada utusan yang dilantik, manakala lebih 900 orang dilaporkan terbunuh dalam tindakan keras selama enam bulan.

Pegawai AS itu berkata, Blinken akan menangani 'pemaksaan' Beijing terhadap negara ASEAN di Laut China Selatan dan menyoroti masalah hak asasi manusia di China.

Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin mengunjungi Asia Tenggara minggu lalu, dengan menyatakan tuntutan Beijing ke atas Laut China Selatan tidak mempunyai asas dalam undang-undang antarabangsa.

Naib Presiden, Kamala Harris bulan ini bercadang mengunjungi Singapura dan Vietnam.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi dijangka bertemu Blinken secara langsung di Washington minggu ini, sementara Wakil Menteri Luar, Wendy Sherman sebelumnya mengunjungi Indonesia, Thailand dan Kemboja yang sering dilihat sebagai negara ASEAN yang paling pro-Beijing. - AFP

Berita Harian X