Jumaat, 30 Julai 2021 | 1:11pm
(Gambar fail) Petugas membawa mayat pesakit COVID-19 di Yangon. - FOTO AFP
(Gambar fail) Petugas membawa mayat pesakit COVID-19 di Yangon. - FOTO AFP

PBB diberi amaran kemungkinan 'mengerikan' di Myanmar

NEW YORK: Penularan COVID-19 berisiko menjangkiti hingga separuh daripada keseluruhan 54 juta penduduk Myanmar, dalam tempoh dua minggu lagi.

Britain memberikan amaran berhubung kemungkinan keadaan itu kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNSC), semalam.

United Kingdom (UK) mengadakan mesyuarat berkenaan sebagai tindak balas kepada situasi penularan COVID-19 yang didakwa 'mengerikan' di Myanmar dengan lonjakan kes sejak tentera merampas kuasa pada Februari lalu.

Britain sekali gus mendesak UNSC memastikan Resolusi 2565 yang menuntut gencatan senjata di zon konflik bagi membolehkan penghantaran vaksin COVID-19 dengan selamat, dihormati di Myanmar.

"Adalah sangat penting untuk kita mempertimbangkan bagaimana untuk melaksanakannya," kata perwakilan tetap Britain ke PBB, Barbara Woodward.

Myanmar kini dilanda pergolakan sejak rampasan kuasa oleh junta, dengan banyak hospital terpaksa bergelut merawat pesakit COVID-19 yang terus meningkat.

Keadaan semakin genting apabila hospital di negara itu bukan saja berdepan krisis kekurangan kelengkapan yang diperlukan untuk rawatan, malah ramai petugas perubatan bertindak menyertai bantahan terhadap rampasan kuasa.

PBB menganggarkan hanya 40 peratus daripada kemudahan penjagaan kesihatan Myanmar masih berupaya untuk berfungsi ketika ini.

Ia juga menganggarkan pasukan junta telah melakukan sekurang-kurang 260 serangan terhadap kakitangan dan kemudahan perubatan, dengan menahan sekurang-kurang 67 pegawai perubatan. - AFP

Berita Harian X