Selasa, 20 Julai 2021 | 6:39pm
Bendera China (kiri) berkibar di sebelah bendera Amerika Syarikat (AS). - Foto AFP
Bendera China (kiri) berkibar di sebelah bendera Amerika Syarikat (AS). - Foto AFP

Setiausaha Pertahanan AS lawat Singapura, Vietnam, Filipina

WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin, akan mengunjungi Singapura, Vietnam dan Filipina minggu ini bagi membincangkan isu keselamatan di laut China Selatan.

Setiausaha Akhbar Pentagon, John Kirby, berkata ini adalah lawatan pertama pemimpin AS itu ke Asia Tenggara sebagai anggota tertinggi dalam kerajaan pentadbiran Presiden AS, Joe Biden.

Berlepas Jumaat lalu, Austin akan berhenti di Alaska sebelum menuju ke rantau berkenaan.

Di Singapura, beliau dijadual berucap di sebuah program anjuran Institut Antarabangsa untuk Kajian Strategik (IISS), kata Kirby dalam satu kenyataan.

"Kunjungan Setiausaha Austin akan menggambarkan kepentingan pentadbiran Biden di Asia Tenggara dan blok ASEAN sebagai sebuah bahagian penting dalam struktur pembangunan Indo-Pasifik.

"Ia juga bagi membuktikan komitmen berkekalan AS terhadap rantau ini dan kepentingan kami menjunjung undang-undang berpaksikan perintah antarabangsa di rantau terbabit dan mempromosikan kemakmuran ASEAN," katanya.

Dengan ketegangan pertikaian wilayah di Laut China Selatan, tindakan Beijing dilihat sebagai cuba memperluaskan 'jajahannya' di perairan laut China Selatan ketika dunia dilanda pandemik COVID-19.

Washington pula berharap menerusi kerjasama dengan beberapa negara di Asia Tenggara, satu kesepakatan dapat diwujudkan untuk berbincang hal berkaitan dasar luar China.

Sebelum ini, Austin sudah dua kali mengadakan kunjungan ke Eropah untuk berusaha memperbaiki hubungan AS dengan sekutu di wilayah itu.

Selain itu, beliau juga berkunjung ke Jepun, Korea Selatan dan India tetapi belum berkesempatan ke Asia Tenggara.

Bulan lalu, Austin dijadual menghadiri Dialog Shangri-LA IISS di Singapura, namun acara itu dibatalkan kerana penularan pandemik COVID-19.

Angkatan tentera laut AS mempunyai pangkalan pentadbiran logistik di Singapura, dari mana ia menghantar kapal dan pesawat pemantau ke serata Laut China Selatan. - AGENSI

Berita Harian X