Isnin, 12 Julai 2021 | 9:24am
 Amaran panas terik dipasang di laluan ke Death Valley National Park, California. - Foto AFP
Amaran panas terik dipasang di laluan ke Death Valley National Park, California. - Foto AFP

Jutaan penduduk di barat AS, Kanada terkesan cuaca panas

LOS ANGELES: Jutaan penduduk di barat Amerika Syarikat (AS) dan Kanada semalam terkesan akibat pusingan baharu cuaca panas terik dengan beberapa jalan ditutup, pergerakan kereta api dihadkan selain arahan pemindahan dikeluarkan.

Di Kanada, dengan kebakaran hutan yang terus merebak, termasuk 50 lagi kebakaran yang tercetus dalam tempoh dua hari lalu, kerajaan mengumumkan langkah darurat baharu bertujuan mencegah kebakaran lebih serius.

Cuaca panas terik melanda sebahagian besar pinggir Pasifik dan kawasan pedalaman seperti pinggir barat Banjaran Rocky pada hujung minggu.

"Gelombang panas yang berbahaya akan memberi kesan kepada sebahagian besar kawasan barat AS, dengan kemungkinan suhu memecah rekod," kata perkhidmatan Cuaca Nasional di laman webnya semalam, sementara ahli meteorologi Kanada meramalkan suhu mencecah 90 darjah Fahrenheit (32 darjah Celsius) di beberapa bahagian di barat Kanada.

Suhu di Las Vegas pada Sabtu menyamai rekod tinggi sebelum ini iaitu 117 darjah Fahrenheit (47.2 darjah Celcius), menurut Perkhidmatan Cuaca Nasional (NWS) - suhu yang pernah direkodkan sekali pada 1942 dan tiga kali lagi sejak 2005.

Pakar mengeluarkan amaran panas melampau untuk beberapa pusat bandar lain termasuk selatan bandar Phoenix dan San Jose, pusat industri teknologi Silicon Valley di selatan San Francisco.

Cuaca panas hujung minggu itu adalah susulan gelombang panas yang melanda barat AS dan Kanada akhir bulan lalu.

Keadaan panas terik menyaksikan suhu harian memecah rekod tiga hari berturut-turut di wilayah British Columbia di Kanada.

Menteri Pengangkutan Kanada, Omar Alghabra semalam mengumumkan langkah darurat baharu bertujuan mencegah kebakaran hutan di kawasan kering, termasuk langkah mengehadkan pergerakan kereta api.

Kereta api adalah penyebab kebakaran hutan, kebiasaannya berlaku apabila alat pencegah percikan api tidak diselenggara dengan baik.

Kerajaan Kanada mengerah pasukan penyiasat ke Lytton, 250 kilometer dari timur laut Vancouver, untuk meneliti sama ada pergerakan kereta api kargo menyebabkan kebakaran akhir bulan lalu yang memusnahkan 90 peratus bandar itu.

Pada Mei lalu, Pertubuhan Meteorologi Dunia dan Pejabat Meteorologi Britain dilaporkan berkata terdapat kemungkinan 40 peratus suhu tahunan global melebihi 1.5 darjah mengatasi suhu praindustri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Enam tahun kebelakangan ini, termasuk tahun 2020 merekodkan tahun terpanas. - AFP

Berita Harian X