Ahad, 11 Julai 2021 | 6:45pm
Cuaca panas melampau yang melanda California di barat Amerika Syarikat (AS) menyaksikan suhu melonjak sehingga 54.4 darjah Celsius. - Foto AFP
Cuaca panas melampau yang melanda California di barat Amerika Syarikat (AS) menyaksikan suhu melonjak sehingga 54.4 darjah Celsius. - Foto AFP

Cuaca panas di California cecah 54.4 darjah Celsius

NEW YORK: Sebahagian besar kawasan barat Amerika Syarikat (AS) berdepan peningkatan suhu mencecah paras rekod sehingga 54.4 darjah Celsius dalam beberapa hari lagi.

Sehubungan itu, amaran dikeluarkan kepada lebih 31 juta penduduk yang tinggal di lokasi dilanda gelombang haba terutama di Death Valley, di mana suhu melonjak sehingga 55.4 darjah Celsius sejak Jumaat lalu.

Suhu melampau yang melanda barat laut Pasifik (AS) pada penghujung Jun lalu mengakibatkan kematian hampir 200 penduduk di Oregon dan Washington.

Orang ramai dinasihatkan terus berada di rumah dengan bergantung kepada pendingin hawa dan sentiasa berlindung di kawasan teduh.

Kesan 'kubah panas' atau 'heat dome' turut melanda kawasan barat laut dengan tanah yang panas dan kering memerangkap haba serta mempercepat kenaikan suhu.

Fenomena sama dikesan sudah menular ke California dan beberapa bahagian di barat daya hujung minggu lalu.

Pakar meteorologi yang berkhidmat dengan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Sarah Rogowski, berkata suhu panas pada siang hari sekitar 38 hingga 49 darjah Celsius melanda sebahagian lokasi di California.

"Lebih membahayakan, suhu berkenaan kekal tinggi pada waktu malam dan menurut penyelidik, suhu gelombang haba pembunuh di Barat Laut Pasifik pada minggu lalu mungkin mustahil berlaku tanpa perubahan iklim.

"Ini kerana perubahan iklim secara asasnya meningkatkan pada kadar purata sekitar satu darjah Celsius sejak 1900," katanya.

Menurut saintis, gelombang haba dijangka memuncak lebih tinggi berbanding beberapa abad sebelum ini.

Gelombang panas melampau melanda hampir keseluruhan California, termasuk sebahagian Nevada, Arizona, Utah, Oregon dan Idaho.

Ketika ini, California berdepan cuaca panas terburuk dan Khamis lalu, agensi yang menguruskan grid elektrik negeri itu memohon supaya pelanggan mengurangkan penggunaan tenaga untuk mengelakkan terputus bekalan.

Gabenornya, Gavin Newsom, turut memohon penduduk mengurangkan penggunaan air ketika pihak berkuasa memperluaskan darurat kemarau di wilayah berkenaan.

Suhu di bandar Merced mencecah 43.9 darjah Celsius semalam, sekali gus memecahkan rekod 42.2 darjah Celsius yang dicatatkan pada 1961.

Dijangkakan, rekod itu mungkin dipintas lagi pada hujung minggu ini di Fresno, Madera, Hanford dan Bakersfield. - AGENSI

Berita Harian X