Khamis, 1 Julai 2021 | 4:03pm
Pusat Komuniti Hillcrest di Vancouver, British Columbia di Kanada memulakan pusat penyejukan bagi penduduk setempat berikutan bahang panas yang melampau. - Foto AFP
Pusat Komuniti Hillcrest di Vancouver, British Columbia di Kanada memulakan pusat penyejukan bagi penduduk setempat berikutan bahang panas yang melampau. - Foto AFP

486 maut akibat suhu panas di British Columbia

VANCOUVER: Sekurang-kurangnya 486 orang maut dalam tempoh lima hari lalu selepas British Columbia di Kanada dilanda gelombang panas, kata perkhidmatan koroner wilayah berkenaan semalam.

Ketua Koroner British Columbia, Lisa Lapointe, dalam satu kenyataan, berkata bilangan yang maut itu adalah berdasarkan statistik antara Jumaat minggu lalu hingga semalam.

Menurut portal berita BBC, Lapointe dilaporkan berkata beliau percaya cuaca terlalu panas adalah punca semua kematian, kebanyakannya membabitkan individu yang tinggal bersendirian.

Sebelum ini, suhu setinggi 49.5 darjah Celsius dicatatkan Selasa lalu di Lytton, British Columbia, kira-kira tiga jam perjalanan dari bandar Vancouver, yang juga rekod baharu suhu tertinggi di Kanada.

Dalam pada itu, seorang pegawai polis, Sarjan Steve Addison, berkata cuaca terlalu panas itu tidak pernah dirasai oleh penduduk sebelum ini dan beliau sedih kerana ramai yang maut akibat suhu tinggi.

Menurut AFP, sekolah di bandar Vancouver buat pertama kali ditutup susulan cuaca panas itu manakala anggota bomba menggunakan hos air untuk menyejukkan badan sesiapa saja yang memerlukannya.

Jutaan penduduk di barat Kanada dan barat laut Amerika Syarikat (AS) menghadapi amaran suhu panas semalam tatkala rantau itu mencatatkan suhu yang memecah rekod kepanasan.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, berkata suhu yang dicatatkan minggu ini belum pernah direkodkan berlaku dan meragut banyak nyawa selain meningkatkan risiko kebakaran hutan.

Suhu juga melambung tinggi di kawasan lembah, gunung dan gurun di California, menimbulkan kebimbangan mengenai kebakaran di beberapa bahagian barat AS.

Presiden AS, Joe Biden, dalam satu mesyuarat secara maya, memberitahu gabenor wilayah-wilayah barat bahawa ancaman kebakaran hutan pada tahun ini sama dahsyatnya seperti yang pernah berlaku.

Sebelum ini, sekitar 9,000 ahli bomba dikerah melawan kebakaran di puluhan wilayah, khususnya di utara California yang memusnahkan lebih 6,879 hektar tanah. - AGENSI

Berita Harian X