Khamis, 1 Julai 2021 | 11:30am
Barat Kanada dan barat laut Amerika Syarikat (AS) menghadapi amaran haba berikutan keadaan cuaca panas terik. - Foto AFP
Barat Kanada dan barat laut Amerika Syarikat (AS) menghadapi amaran haba berikutan keadaan cuaca panas terik. - Foto AFP

Kanada, AS dilanda gelombang haba maut

VANCOUVER: Jutaan penduduk di barat Kanada dan barat laut Amerika Syarikat (AS) menghadapi amaran haba semalam tatkala rantau itu mencatatkan suhu yang memecah paras rekod.

Polis pula melaporkan banyak kematian yang kemungkinan berhubung kait dengan keadaan cuaca panas terik.

Gelombang haba itu meningkatkan lagi tekanan terhadap khidmat kecemasan, dengan sekurang-kurangnya 134 orang mati secara tiba-tiba sejak Jumaat lalu di kawasan Vancouver, menurut polis Kanada.

"Suhu yang dicatatkan minggu ini belum pernah berlaku - meragut nyawa dan risiko kebakaran hutan berada pada tahap amat tinggi," kata Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.

Di bandar barat laut AS, Seattle, doktor melaporkan ramai mangsa mengalami strok haba dan sekurang-kurangnya dua pesakit - berusia 65 dan 68 tahun - mati akibat hipertermia apabila suhu badan mereka terlalu tinggi, menurut Seattle Times.

Suhu yang melambung tinggi di kawasan lembah, gunung dan gurun California menimbulkan kebimbangan mengenai kebakaran di tengah-tengah cuaca kering yang berangin, dengan ribut petir yang boleh mencetuskan kebakaran diramalkan di beberapa bahagian barat AS.

Presiden Joe Biden memberitahu gabenor dari wilayah-wilayah barat dalam satu mesyuarat maya bahawa 'ancaman kebakaran hutan di bahagian barat pada tahun ini sama dahsyatnya seperti yang pernah berlaku'.

Pegawai persekutuan berkata, musim kebakaran sudahpun mengatasi tahun lalu - yang terburuk dalam rekod California yang dilanda kemarau.

Sekitar 9,000 ahli bomba dikerahkan untuk melawan kebakaran di berpuluh-puluh wilayah, khususnya Kebakaran Lava di utara California, yang memusnahkan lebih 6,879 hektar tanah.

Kanada mencatatkan rekod baru bagi suhu tinggi sepanjang masa buat hari ketiga berturut-turut pada Selasa, mencapai 49.5 darjah Celsius di Lytton, kira-kira 250 kilometer dari timur Vancouver, lapor jabatan kaji cuaca negara itu, Environment Canada.

Bandar pantai Pasifik itu mencatatkan suhu melepasi 30 darjah Celsius sepanjang beberapa hari - hampir 12 darjah Celsius lebih tinggi daripada kebiasaan.

Beberapa penduduk tempatan Vancouver menyatakan bahawa mereka tidak pernah mengalami suhu seperti itu sebelum ini. - AFP

Berita Harian X