Isnin, 28 Jun 2021 | 1:44pm
 Kanak-kanak bermain di Salmon Springs Fountain di Portland, Oregon berikutan cuaca panas. - Foto AFP
Kanak-kanak bermain di Salmon Springs Fountain di Portland, Oregon berikutan cuaca panas. - Foto AFP

'Kubah panas' di barat AS, Kanada meningkatkan suhu

OTTAWA: 'Kubah panas' atau 'heat dome' di barat Kanada dan barat laut Pasifik Amerika Syarikat (AS) menyebabkan suhu melonjak tinggi, yang membawa amaran panas terik dari Oregon ke wilayah Artik Kanada semalam.

Laman web cuaca Environment Canada melaporkan, titik panas Lytton di British Columbia, kira-kira 250 kilometer (155 batu) timur laut Vancouver memecahkan rekod suhu paling tinggi di negara itu iaitu 46.6 darjah Celsius (116 Fahrenheit).

Lebih 40 suhu baharu dicatatkan di seluruh wilayah pada hujung minggu, termasuk di bandar peranginan ski Whistler.

Tekanan tinggi di kawasan tanah tinggi yang memerangkap udara panas di rantau itu dijangka terus memecahkan lebih banyak rekod sepanjang minggu.

Environment Canada mengeluarkan amaran kepada British Columbia, Alberta, dan beberapa bahagian Saskatchewan, Yukon dan Wilayah Barat Laut.

"Gelombang panas yang berpanjangan dan berbahaya, akan berlanjutan hingga minggu ini," katanya.

Ia turut meramalkan suhu menghampiri 40 darjah Celsius (104 Fahrenheit) di beberapa wilayah, atau 10 hingga 15 darjah Celsius lebih panas daripada biasa.

Perkhidmatan Cuaca Nasional AS mengeluarkan amaran serupa mengenai gelombang panas berbahaya yang menyaksikan kenaikan suhu sehingga lebih 30 darjah Fahrenheit di atas paras normal di beberapa bahagian Washington dan Oregon.

Isnin dijangka menjadi hari paling panas di bandar besar seperti Seattle dan Portland, dengan rekod tertinggi sepanjang masa kemungkinan berlaku di kedua-dua bandar itu.

Ahli kaji cuaca Environment Canada, David Phillips memberitahu stesen penyiaran CTV bahawa suhu di barat Kanada lebih panas daripada Dubai.

Katanya, risiko kebakaran hutan meningkat, dan paras air di tasik dan sungai menjadi lebih rendah.

Pendingin hawa dan kipas mudah alih dilaporkan habis dijual, sementara ada bandar membuka pusat penyejukan kecemasan dan pekerja turun ke jalanan untuk mengedarkan air dan topi.

Beberapa klinik membatalkan program imunisasi COVID-19 dan sekolah mengumumkan akan ditutup hari ini. - AFP

Berita Harian X