Ahad, 20 Jun 2021 | 6:05pm
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

Dunia hadapi ancaman perang biologi

WASHINGTON: Pakar memberi amaran dunia mungkin berdepan perang biologi sekiranya ujian terhadap virus sebagai senjata diteruskan tanpa pemantauan.

Kumpulan saintis berkenaan, yang dipetik akhbar The Sun, mengeluarkan amaran itu selepas siasatan terhadap asal-usul COVID-19 mendapati wujud bukti menjurus ke arah itu.

Saintis terkemuka, Steven Quay dan Richard Muller, memberitahu akhbar Wall Street Journal (WSJ), bahawa teori coronavirus berasal daripada jangkitan haiwan kepada manusia adalah tidak munasabah dan sukar diterima akal.

Dalam satu persidangan secara maya, mereka memberi amaran bahawa dunia berdepan kehancuran sekiranya penyelidikan ke atas virus tidak dihentikan segera.

Quay, yang juga ketua eksekutif syarikat farmaseutikal Atossa Therapeutics, berkata demikian pada persidangan maya anjuran Institut Hudson yang berpangkalan di Washington DC.

"Penyelidikan terhadap vaksin membuka peluang di mana seseorang boleh lancarkan perang biologi pada waktu pagi dan mendapatkan suntikan vaksin pada waktu petang.

"Berbeza daripada virus lain, kuman COVID-19 berjangkit sangat cepat dalam kalangan komuniti dan fenomena itu tidak berpadanan dengan kaedah jangkitan penyakit yang berlaku secara semula jadi," katanya.

Teori kebocoran makmal mengaitkan virus COVID-19, yang disokong pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendapat perhatian sejak beberapa minggu kebelakangan ini susulan kemunculan bukti baharu.

Menurut bukti itu, tiga penyelidik di Institut Virologi Wuhan (WIV) jatuh sakit pada 20 November 2019 dengan simptom yang sama seperti jangkitan coronavirus itu.

Bukti video yang diperoleh agensi berita Sky News pula menunjukkan kelawar hidup disimpan di makmal WIV.

Ia secara langsung bercanggah dengan kenyataan penyiasat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Peter Daszak, yang menolak dakwaan 'teori konspirasi' dalam siasatan asal usul coronavirus.

Siasatan WHO mengenai asal usul COVID-19 pada Februari lalu menyimpulkan adalah 'sangat tidak mungkin' virus itu berasal dari sebuah makmal.

Keraguan mengenai kualiti penemuan itu menyebabkan pentadbiran AS bulan lalu mengarahkan agensi perisikannya menjalankan siasatan baharu selama 90 hari.

Presiden Joe Biden adalah antara beberapa pemimpin dunia lain yang semakin ghairah meminta siasatan terperinci dilakukan berhubung teori konspirasi itu susuan penemuan bukti baharu. – AGENSI

Berita Harian X