Jumaat, 18 Jun 2021 | 7:55am

UNGA akan undi kutuk junta Myanmar

NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNGA) akan mengundi hari ini untuk mencapai resolusi tidak mengikat bagi mengutuk junta tentera Myanmar dan menyeru negara anggota untuk mengekang aliran senjata ke negara dilanda keganasan itu.

Undian itu diadakan pada hari sama dengan Majlis Keselamatan mengadakan perbincangan tidak rasmi mengenai keadaan di bekas Burma, di mana tentera menggulingkan pemimpin awam Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu.

Terdahulu draf resolusi UNGA yang diperoleh oleh AFP menjelaskan hasil perbincangan antara Barat dan anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara, yang bertindak sebagai orang tengah dalam krisis.

Menurut seorang diplomat, kedua-dua pihak akan melihat resolusi yang diterima dengan kata sepakat, bukannya undian.

Walau bagaimanapun, kedudukan China sebagai sekutu utama Myanmar, tidak diketahui lagi dan mana-mana negara boleh meminta supaya diadakan pemilihan.

Pada Mei lalu, usaha pertama iaitu penangguhan segala berkaitan senjata api kepada ketenteraan Myanmar terhenti kerana Barat memilih berunding dengan negara anggota ASEAN untuk mendapatkan sokongan sebanyak mungkin untuk inisiatif itu.

Tetapi kini, ia berubah kepada meminta semua negara anggota mencegah aliran senjata ke Myanmar.

Dalam surat baru-baru ini kepada PBB, wakil Myanmar, Kyaw Moe Tun, menyerukan langkah kolektif yang efektif diambil terhadap junta, berikutan perbezaan pendapat hingga menyebabkan lebih dari 850 orang mati.

Tindakan itu menyebabkan junta menolak Moe Tun sebagai wakil Myanmar tetapi PBB masih menganggapnya sebagai wakil yang sah.

Majlis Keselamatan adalah tempat untuk mempertimbangkan embargo senjata, tetapi kekuatan veto China menjadikan keadaan itu tidak mungkin berlaku.

Sementara itu, draf resolusi UNGA menuntut pemulihan demokrasi di Myanmar, pembebasan semua pemimpin sivil, menuntut tentera menghentikan keganasan dan meminta pelaksanaan lima perkara yang dirangka oleh ASEAN termasuk penamaan wakil daripada blok itu.

Selain itu, ia juga meminta junta membenarkan utusan PBB ke Myanmar, Christine Schraner Burgener, untuk mengunjungi negara itu dan mendapatkan bantuan kemanusiaan dengan selamat. - AFP

Berita Harian X