Isnin, 14 Jun 2021 | 6:36pm

China didakwa hasilkan senjata biologi untuk perang

WASHINGTON: China didakwa menghabiskan beberapa dekad untuk menjalankan penyelidikan mengenai senjata biologi secara sulit di puluhan makmal rahsia di seluruh negara itu.

Negara berkeluasan sekitar 9.6 juta kilometer persegi itu didakwa mempunyai 50 makmal rahsia, dengan saintis Amerika Syarikat (AS) mengesyaki mereka aktif menghasilkan 'bom bakteria' yang boleh menyebabkan kematian berskala besar.

Kebimbangan mengenai kewujudan makmal rahsia di China muncul ketika isu asal usul virus COVID-19 hangat diperdebatkan dan terus dipersoalkan, dengan teori utama mendakwa ia dicipta dalam makmal di Institut Virologi Wuhan (WIV).

Jabatan Negara AS mendakwa memperoleh sejumlah dokumen yang menunjukkan komandan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) percaya akan berlaku Perang Dunia Ketiga pada masa akan datang.

Dokumen yang diperoleh itu secara tidak langsung menunjukkan senjata biologi dan genetik akan digunakan sebagai 'senjata utama untuk meraih kemenangan dalam peperangan terbabit'.

Laporan pertama mengenai senjata biologi didedahkan pada April lalu, menunjukkan hubungan rapat antara tentera China dengan makmal rahsia di negara itu, sekali gus meningkatkan perkembangan penyelidikan biologi.

Ia juga memaklumkan, China dipercayai mempunyai sejarah program senjata biologi seperti senjata mengandungi bahan beracun risin, botulinum dan ejen pencetus anthrax, taun serta tularemia.

Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Jepun, Dr Monika Chansoria, berkata tahap 'kerahsiaan dan kesamaran' China dalam subjek berkenaan tiada tolok bandingannya.

"Jika maklumat mengenai senjata kimia milik China sukar diperoleh, agak mustahil bagi kita mengetahui perkembangan pembangunan senjata biologi negara itu dan ini amat membimbangkan.

"Walaupun kerajaan China memaklumkan semua kegiatan berkaitan senjata kimia kepada Konvensyen Senjata Biologi (BWC), ia tidak didedahkan kepada umum dan kekal dirahsiakan," katanya dalam temu bual dengan Japan Forward.

Jabatan Negara AS turut mempersoalkan jika China mematuhi protokol BWC yang ditandatangani negara itu pada 1984.

Berdasarkan pemerhatian saintis AS pada 2002, terdapat beberapa makmal di China terbabit dalam kajian racun dan patogen yang boleh membawa maut.

Antaranya ialah makmal di Yan'an, yang didakwa menghasilkan empat jenis senjata biologi termasuk bom bakteria.

Beberapa bandar lain termasuk Changchun, Kunming, Shenyang dan Wuhan pula didakwa melakukan kajian serta membangunkan pelbagai ejen perang biologi.

Terdapat dua kemudahan di China didakwa terbabit dengan pembangunan senjata biologi untuk perang iaitu Akademi Mikrobiologi dan Epidemiologi, Kementerian Pertahanan di Beijing dan Institut Produk Biologi Lanzhou. - AGENSI

Berita Harian X