Khamis, 20 Mei 2021 | 2:01pm

Vaksin Pfizer boleh disimpan hingga sebulan

WASHINGTON: Vaksin Pfizer-BioNTech boleh disimpan pada suhu peti sejuk hingga selama sebulan di Amerika Syarikat (AS).

Pengawal selia kesihatan AS mengumumkan perkara itu, semalam, sebagai langkah perubahan yang dijangka membantu pengedaran vaksin COVID-19 terbabit.

Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS, keputusan itu dibuat berdasarkan 'penelitian terhadap data dikemukakan Pfizer, baru-baru ini.'

Sehubungan itu, bebuli vaksin terbabit akan dibenarkan disimpan pada suhu peti sejuk antara dua hingga lapan darjah Celsius hingga selama sebulan.

Sebelum ini, bebuli berkenaan hanya dibenarkan disimpan pada suhu sedemikian untuk tempoh selama lima hari.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Penilaian Biologi FDA, Peter Marks, berkata perubahan itu harus menjadikan akses kepada vaksin berkenaan lebih meluas kepada orang awam di AS.

"Ia akan memudahkan kemampuan penyedia vaksin seperti pejabat doktor komuniti, untuk menerima, menyimpan dan memberi pelalian itu," katanya.

Isnin lalu, Agensi Ubat-Ubatan Eropah turut meluluskan penyimpanan vaksin Pfizer dalam peti sejuk hingga selama sebulan.

Februari lalu, FDA membenarkan vaksin itu disimpan pada 'suhu konvensional yang biasa terdapat dalam peti beku farmaseutikal hingga selama dua minggu' berbanding suhu ultra rendah antara -80 hingga -60 darjah Celsius. - AFP

Berita Harian X