Selasa, 18 Mei 2021 | 1:21pm
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. - Foto AFP
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. - Foto AFP

Belum ada tindakan konkrit bantu tamat konflik Israel-Palestin

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertemu buat kali ketiga semalam tanpa sebarang tindakan konkrit untuk menamatkan keganasan antara Israel dengan Palestin.

China bagaimanapun bertekad untuk menghasilkan satu tindakan tegas selepas Amerika Syarikat (AS) sekali lagi membantah usaha terbabit.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata badan dunia itu sedang membincangkan usaha mencapai satu gencatan senjata dengan segera.

Gutteres turut melahirkan rasa terkejut dengan jumlah korban akibat serangan Israel ke atas Gaza dan juga serangan roket Hamas.

Konflik Israel-Palestin memasuki minggu kedua dengan 42 orang di Gaza maut dalam serangan Israel pada Ahad.

Ia disifatkan sebagai hari yang paling buruk sejak keganasan tercetus pada Isnin minggu lalu.

Seramai 10 orang di Israel juga terbunuh akibat serangan roket Palestin dari Gaza.

Angka korban lebih rendah di Israel mungkin kerana adanya tempat-tempat perlindungan bawah tanah.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran, serangan udara ke atas Gaza akan diteruskan dengan 'kuasa sepenuhnya'.

Sebelum subuh semalam, jet-jet pejuang Israel melancarkan siri serangan udara di beberapa lokasi di Gaza.

Tentera Israel mendakwa mereka menyasarkan rumah sembilan panglima Hamas di Gaza.

Hamas dipercayai melancarkan sekitar 60 roket ke arah Israel semalaman kelmarin, jauh lebih rendah daripada 120 hingga 200 roket yang dilancarkan dua malam sebelumnya.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sejumlah 200 warganya terkorban setakat semalam.

Namun, ramai masih mengharapkan 'mimpi ngeri' itu segera berakhir. - AGENSI

Berita Harian X